ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Pemberian Khas Sabah Dinaikkan Kepada RM1.5 Bilion Mulai Tahun Ini – PM

KOTA KINABALU – Kerajaan bersetuju menaikkan segera pemberian khas kepada Sabah kepada RM1.5 bilion sebagai langkah interim sementara rundingan mengenai formula baharu pemberian berkenaan diteruskan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata jumlah itu dijangka dapat disalurkan tahun ini selepas kertas berkaitan dibentangkan di Parlimen pada Oktober, dengan bayaran dijangka dibuat selewat-lewatnya akhir Oktober atau awal November.

Anwar berkata rundingan mengenai formula baharu pemberian khas itu perlu mengambil kira kedudukan kewangan negara, termasuk penetapan jumlah minimum dan maksimum yang munasabah.

“Untuk itu, saya telah setuju untuk menambah segera mulai tahun ini ke RM1.5 bilion sebagai langkah interim.

“Perundingan diteruskan dan mengambil kira juga kedudukan kewangan seperti mana dalam perjanjian awal,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) di sini, hari ini.

Mesyuarat itu turut dihadiri Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Dalam pada itu, Anwar memberi bayangan Sarawak turut boleh dipertimbangkan untuk menerima langkah interim yang sama, walaupun kedudukannya berbeza dari segi peruntukan Perlembagaan.

“Negeri Sarawak saya ingat walaupun tidak termasuk dalam peruntukan Perlembagaan, tetapi semangat yang sama harus diperkirakan.

“Oleh itu, saya akan terus bincang dalam beberapa hari dengan Premier. Mudah-mudahan sebaik Hari Malaysia pada 16 September di Kuching, saya boleh umumkan juga langkah interim untuk Sarawak,” katanya.

Anwar berkata Sarawak turut mengemukakan pandangan mengenai formula pemberian yang mengambil kira kedudukan kewangan serta keupayaan Kerajaan Persekutuan, selain menetapkan kadar minimum dan maksimum.

Beliau berkata Kementerian Kewangan akan bersama Kementerian Kewangan Sarawak untuk membincangkan cadangan memperkenalkan formula berkenaan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *