NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Malaysia Kecam Keras Pencerobohan Masjid Al-Aqsa Oleh Pendatang Haram Israel

KUALA LUMPUR – Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan terbaharu pendatang haram Israel yang menceroboh Masjid Al-Aqsa, termasuk perbuatan mengibarkan bendera Zionis Israel di kawasan suci berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Kementerian Luar menegaskan bahawa sebarang usaha untuk melakukan Yahudisasi terhadap Masjid Al-Aqsa merupakan tindakan keji yang mencabul kesucian salah satu tapak paling penting bagi umat Islam.

Menurut Wisma Putra, tindakan yang dilakukan oleh pendatang haram dengan sokongan rejim Zionis Israel itu dilihat sebagai cubaan untuk mengubah status quo serta identiti budaya, sejarah dan kesucian Masjid Al-Aqsa.

“Tindakan provokatif seperti ini sama sekali tidak boleh diterima dan menunjukkan pengabaian jelas terhadap tanggungjawab menjaga tapak-tapak suci Islam di Baitulmuqaddis.

“Masyarakat antarabangsa tidak boleh terus berdiam diri ketika pencerobohan dan permusuhan dilakukan secara terbuka,” menurut kenyataan tersebut.

Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil langkah segera dan berkesan bagi menghentikan pelanggaran berterusan itu, selain memastikan Israel dipertanggungjawabkan atas tindakannya.

Pada masa sama, Malaysia menegaskan komitmen dan solidariti yang tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin, serta mengulangi sokongan terhadap penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat berdasarkan sempadan sebelum tahun 1967, dengan Baitulmuqaddis Timur sebagai ibu negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *