Warga China Disyaki Penganjur Pesta Dadah, Gay Di Hotel Mewah
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga China yang ditahan dalam serbuan pesta dadah melibatkan golongan homoseksual di sebuah hotel mewah di ibu negara bulan lalu dipercayai menjadi penganjur utama acara berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, lelaki terbabit merupakan antara 51 individu yang ditahan dalam operasi berkenaan.
Menurut beliau, hasil siasatan mendapati suspek dipercayai bertanggungjawab mengatur dan mempromosikan acara tersebut menerusi akaun peribadi di platform Instagram.
“Setakat ini, siasatan mengenal pasti seorang lelaki warga China yang ditahan dipercayai berperanan sebagai penganjur acara berkenaan.
“Promosi pesta itu dipercayai dibuat melalui Instagram menggunakan akaun persendirian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal turut mendapati dadah yang dirampas dipercayai digunakan untuk kegunaan sendiri serta dikongsi sesama peserta yang menghadiri pesta itu.
“Buat masa ini, tiada elemen pengedaran dadah dikenal pasti. Bagaimanapun, risikan masih diteruskan bagi mengesan sumber bekalan dadah yang digunakan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hussein memaklumkan kesemua 51 individu yang ditahan telah didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan berkaitan dadah.
Katanya, lelaki warga China yang disyaki menjadi penganjur didakwa mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Seramai 17 individu pula didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, manakala seorang lagi didakwa mengikut Seksyen 39A(1) akta yang sama.
“Selain itu, 32 individu lagi berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan JSJN Bukit Aman menahan 51 lelaki dalam empat serbuan berasingan di sebuah hotel di Kuala Lumpur pada 23 Mei lalu selepas dipercayai menghadiri pesta dadah dan seks sesama jenis.
Tangkapan membabitkan 23 warga tempatan dan 28 warga asing berusia antara 21 hingga 52 tahun.
Dalam operasi itu, polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai kira-kira RM103,070, termasuk cecair MDMA seberat 1.15 kilogram, serbuk MDMA (284 gram), pil ekstasi (8.56 gram), serbuk ekstasi (8.7 gram) dan ketamin (11.61 gram).
Sebelum serbuan dijalankan, polis turut mengesan seorang lelaki dipercayai peserta pesta berkenaan dibawa keluar dari lobi hotel dalam keadaan tidak sedarkan diri.
Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), namun disahkan meninggal dunia sejurus tiba di hospital.
Mengulas mengenai kematian itu, Hussein berkata pihak polis masih menunggu laporan penuh pihak hospital bagi menentukan punca sebenar kematian mangsa.
“Setakat ini, keputusan rasmi berkaitan punca kematian masih belum dikeluarkan dan pihak hospital memerlukan sedikit masa lagi untuk melengkapkan proses berkenaan,” katanya.
