Syed Saddiq Anjur Larian Kesyukuran Muar, Sasar Kutipan RM200,000 Bantu Rakyat
JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan menganjurkan Larian Kesyukuran Muar, sebuah program larian amal yang menyasarkan kutipan dana sebanyak RM200,000 bagi membantu golongan memerlukan di kawasan Parlimen Muar.
Dana yang berjaya dikumpulkan menerusi program itu akan disalurkan kepada pelbagai inisiatif kebajikan, termasuk membantu keluarga berpendapatan rendah dan mahasiswa yang memerlukan sokongan.
Menerusi hantaran video di akaun Facebook rasminya, Syed Saddiq mengajak orang ramai menyertai usaha tersebut dengan menyalurkan sumbangan bagi menjayakan misi kutipan dana berkenaan.
Menurut beliau, hasil kutipan akan digunakan bagi dua inisiatif utama, iaitu penyediaan bakul makanan kepada keluarga yang memerlukan serta pembelian iPad untuk pelajar yang memerlukan peranti bagi tujuan pembelajaran.
“Sepanjang tempoh ini, saya menerima begitu banyak doa, sokongan dan kata-kata semangat daripada keluarga, rakan-rakan, pasukan saya serta rakyat Malaysia, khususnya masyarakat Muar,” katanya.
Larian amal itu dijadual berlangsung selama empat hari bermula hari ini, 16 Julai hingga 19 Julai, dengan pelepasan di Istana Kehakiman, Putrajaya sebelum menamatkan larian di Laman Maharani, Muar.
Orang ramai yang ingin menyumbang boleh berbuat demikian menerusi laman sesawang rasmi Larian Kesyukuran Muar di lariankesyukuranmuar.com.
Sejak 2020, Syed Saddiq aktif melaksanakan pelbagai kempen kutipan dana secara kreatif bagi membiayai program kebajikan untuk penduduk Muar.
Sehingga Julai 2026, sekurang-kurangnya lima kempen utama telah dianjurkan dengan memberi tumpuan kepada bantuan pendidikan dan kebajikan masyarakat.
Antara kempen yang mendapat perhatian ialah Botak Challenge, yang berjaya mengumpulkan lebih RM383,000, melepasi sasaran awal.
Pada November 2025, beliau turut menyertai perlumbaan lasak Ironman Malaysia dengan cabaran menamatkan perlumbaan dalam tempoh kurang 13 jam.
Kejayaan itu membolehkan beliau memperoleh tajaan berjumlah RM1 juta yang disalurkan sepenuhnya bagi membantu penduduk Muar, termasuk menyediakan komputer riba kepada pelajar yang memerlukan.
Penganjuran Larian Kesyukuran Muar dilihat sebagai kesinambungan usaha Syed Saddiq dalam menggerakkan kempen pengumpulan dana bagi memastikan lebih ramai penduduk di kawasan Parlimen Muar menerima bantuan dan sokongan yang diperlukan.
