NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Politik

Kerajaan Persekutuan Kekal Iktiraf Tuanku Muhriz Sebagai Yang di-Pertuan Besar

PUCHONG – Kerajaan Persekutuan menegaskan bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan akan terus menjalankan urusan rasmi dengan baginda selaras dengan peruntukan undang-undang serta Perlembagaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendirian rasmi kerajaan itu tidak berubah walaupun terdapat usaha pihak tertentu untuk memasyhurkan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baharu.

Beliau turut mengingatkan semua pihak agar sebarang pertikaian berkaitan institusi diraja diselesaikan melalui saluran perundangan dan perlembagaan yang sah bagi mengelakkan kekeliruan serta keresahan dalam kalangan rakyat.

Menurutnya, sebarang tindakan yang melibatkan kedudukan atau pemecatan seorang raja mempunyai implikasi besar terhadap kestabilan negara dan perlu ditangani dengan penuh berhati-hati.

“Krisis yang berlaku di Negeri Sembilan menimbulkan kebimbangan kerana institusi raja mempunyai peraturan, adat dan kedudukan yang perlu dihormati. Jika perkara ini dipersoalkan sewenang-wenangnya, ia memberi mesej yang tidak baik.

“Sesiapa sahaja berhak menggunakan saluran undang-undang dan perlembagaan negeri, namun hujah yang dikemukakan mestilah kukuh. Kerajaan memandang serius perkara ini dan pandangan tersebut telah disampaikan kepada pihak berkaitan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Meranti, di sini, hari ini.

Terdahulu, Tunku Nadzaruddin dilaporkan dimasyhurkan sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dalam satu majlis yang berlangsung di sebuah resort di Melaka.

Pemasyhuran tersebut diumumkan oleh Undang Luak Jelebu, Datuk Maarof Mat Rashad, yang bertindak mewakili Undang Yang Empat, sekali gus dijangka menambah hangat pertikaian berkaitan takhta negeri berkenaan.

Pada April lalu, empat Undang termasuk Datuk Mubarak Thahak dari Sungai Ujong yang kedudukannya turut dipersoalkan, mengumumkan pemecatan Tuanku Muhriz dan menamakan Tunku Nadzaruddin sebagai Yang di-Pertuan Besar baharu berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan tindakan tersebut tidak sah dan tidak diiktiraf kerana Mubarak didakwa tidak mempunyai kuasa yang sah sebagai Undang.

Dalam pada itu, Anwar menegaskan Kerajaan Persekutuan akan terus mempertahankan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.

Katanya, walaupun kerajaan tidak terlibat secara langsung dalam pertikaian tersebut, pihaknya tetap mempunyai tanggungjawab untuk memberikan nasihat yang sewajarnya demi memelihara kemuliaan dan kedudukan institusi diraja.

“Sistem raja bukan sekadar simbol, tetapi mempunyai sejarah, martabat dan peraturan tersendiri yang perlu dipelihara. Sebab itu kita akan terus mempertahankan kedudukan, kemuliaan dan kedaulatan institusi Raja-Raja Melayu.

“Saya juga menyokong pendirian Menteri Besar bahawa dalam keadaan yang menimbulkan pelbagai kekeliruan ini, pilihan raya merupakan langkah terbaik, dan perkara itu telah mendapat perkenan Tuanku Muhriz,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *