MCMC Pertingkat Penggunaan Kawalan Ibu Bapa Dalam Kempen Internet Selamat
MELAKA – Kempen Internet Selamat yang berlangsung di Parlimen Hang Tuah Jaya memberi tumpuan kepada penggunaan ciri kawalan ibu bapa sebagai langkah memperkukuh keselamatan digital dalam institusi keluarga.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan bahawa program berkenaan menekankan pemerkasaan literasi digital masyarakat, khususnya dalam aspek perlindungan keluarga serta pencegahan jenayah siber yang semakin mencabar.
Menurut MCMC, antara fokus utama kempen tersebut ialah meningkatkan kesedaran dan kemahiran ibu bapa dalam mengurus serta menetapkan kawalan pada peranti digital anak-anak bagi memastikan penggunaan internet yang lebih selamat, bertanggungjawab dan terkawal.
“Usaha ini penting bagi membantu ibu bapa memahami risiko dalam talian serta melindungi anak-anak daripada ancaman kandungan tidak sesuai, penipuan dan eksploitasi digital,” menurut kenyataan itu.
Seiring dengan agenda strategik tahun 2026, kempen berkenaan turut memperluaskan pendekatan advokasi kepada komuniti akar umbi dan golongan warga emas bagi meningkatkan kesedaran terhadap ancaman penipuan kewangan dalam talian.
Dalam masa sama, pendekatan Belia kepada Komuniti diperkenalkan menerusi penglibatan pemimpin pelajar daripada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) yang telah mengikuti latihan Training of Trainers (ToT) Kempen Internet Selamat.
Mereka akan berperanan sebagai fasilitator komuniti dengan mengendalikan sesi penerangan dan latihan secara langsung kepada masyarakat setempat, sekali gus membantu merapatkan jurang generasi dalam aspek literasi digital.
Menurut MCMC, setakat ini sebanyak 438 komuniti di seluruh negara telah disantuni menerusi Kempen Internet Selamat, termasuk 25 komuniti di Melaka.
Agensi itu turut menyasarkan pelaksanaan 200 kempen bersasar bersama komuniti di setiap negeri menjelang penghujung tahun ini bagi memperluaskan kesedaran mengenai keselamatan siber dan penggunaan internet secara berhemah.
Terdahulu, program berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi merangkap Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya, Adam Adli Abdul Halim dan turut dihadiri Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
