PAS Hentikan Kerjasama Politik Dengan BERSATU
KUALA LUMPUR – PAS mengumumkan penamatan kerjasama politik dengan BERSATU berkuat kuasa serta-merta selepas keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang berlangsung malam ini.
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, keputusan tersebut dibuat selepas parti meneliti laporan, kajian serta penilaian semasa berhubung kedudukan dan hala tuju hubungan politik antara kedua-dua parti.
Menurut beliau, mesyuarat itu turut memperakukan keputusan Mesyuarat Majlis Syura Ulamak pada 2 Jun lalu yang mempertimbangkan aspek dasar, hukum dan maslahah berkaitan kerjasama politik PAS berasaskan prinsip penyatuan ummah.
“Mesyuarat memperakui keputusan untuk meneroka bentuk baharu persefahaman politik serta kerjasama pilihan raya demi penyatuan ummah dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“Mesyuarat juga menerima hasrat tokoh akademik, profesional, pemimpin politik dan aktivis masyarakat yang ingin menyertai PAS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 2 Jun lalu, Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh memaklumkan bahawa badan tertinggi parti itu mengambil perhatian serius terhadap krisis dan konflik dalaman yang melanda BERSATU kerana dilihat memberi kesan kepada kestabilan Perikatan Nasional (PN).
Sebelum mesyuarat khas berkenaan berlangsung, beberapa pemimpin PAS telah memberi petunjuk bahawa hubungan dengan BERSATU berdepan cabaran serius meskipun Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama antara kedua-dua parti.
Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari menerusi hantaran di Facebook sebelum ini menyatakan bahawa kepercayaan yang telah terhakis bukan sesuatu yang mudah untuk dipulihkan.
Beliau menegaskan bahawa sebarang keputusan berkaitan masa depan hubungan politik PAS akan mengambil kira pelbagai peristiwa yang telah menjejaskan keyakinan terhadap sekutunya dalam PN.
Walaupun mengakui keikhlasan Muhyiddin untuk mengekalkan hubungan baik, Ahmad Fadhli berpandangan bahawa kerjasama politik tidak boleh dinilai berdasarkan kenyataan semata-mata, sebaliknya perlu dibuktikan melalui tindakan.
Beliau turut membangkitkan isu politik di Perlis apabila BERSATU didakwa bertindak tergesa-gesa mengemukakan calon Menteri Besar ketika timbul isu melibatkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli.
Sebelum ini, Abdul Hadi memaklumkan bahawa Majlis Syura Ulamak PAS telah membincangkan isu hubungan dengan BERSATU dan menyerahkan keputusan akhir kepada Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Keputusan menamatkan kerjasama itu dilihat sebagai perkembangan besar dalam landskap politik pembangkang, lebih-lebih lagi selepas Muhyiddin semalam sekali lagi menegaskan hasrat untuk mengekalkan hubungan baik antara BERSATU dan PAS dalam Perikatan Nasional.
