“Wahai Adinda Menteri Besar, Jangan Gundah-Gulana” – Azmin Ali
SHAH ALAM – Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencuri perhatian ketika perbahasan Persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini apabila menyifatkan beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebagai “sahabat” dan “teman”.
Beliau menyifatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai “adinda”, Speaker DUN Selangor, Ng Suee Lim sebagai “sahabat” manakala ADUN Sentosa, Gunaraj R George sebagai “teman”.
“Amirudin adalah adindaku. Ng Suee Lim adalah sahabatku. Gunaraj R George adalah temanku. Amanah adalah peganganku. Kekal tenang adalah prinsip aku,” katanya ketika menyampaikan perbahasan pada Persidangan Dewan Negeri Selangor di Shah Alam hari ini.
Azmin yang juga Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) turut meminta Amirudin supaya tidak “gundah-gulana” dan meneruskan usaha membangunkan Selangor.
“Wahai Menteri Besar, jangan gundah-gulana. Jangan benarkan fahaman ini bertapak di negeri Selangor. Teruskan langkahmu untuk membangun negeri Selangor. Anda tidak berseorangan. I’m always here for Selangor,” katanya.
Dalam ucapannya, Azmin turut mengkritik kumpulan yang didakwanya melaungkan penyatuan dan ketuanan Melayu, namun pada masa sama bertanggungjawab terhadap kemerosotan beberapa institusi serta dikaitkan dengan skandal kewangan.
Bagaimanapun, beliau tidak menamakan secara khusus mana-mana parti atau gabungan politik ketika membuat dakwaan berkenaan.
Menurutnya, kumpulan yang melaungkan penyatuan dan ketuanan Melayu tidak wajar disokong kerana didakwa turut bertanggungjawab terhadap kemerosotan beberapa institusi Melayu.
“Keadaan politik bertambah gila apabila ada kumpulan yang menghalalkan kleptokrasi, mengiyakan kebobrokan dengan fatwa baharu. Ini adalah proses memperbodohkan rakyat keseluruhannya atas nama penyatuan Melayu kononnya,” katanya.
Azmin pada masa sama berkata Selangor perlu terus membangun berasaskan penyatuan yang membawa kemajuan selain memastikan manfaat pertumbuhan ekonomi dinikmati rakyat.
Beliau turut menekankan kepentingan komunikasi yang tepat bagi memastikan rakyat memahami dasar kerajaan negeri, selain mencadangkan supaya aspek penerangan dan unit media dipertingkatkan.
“Komunikasi yang betul dan tepat penting untuk rakyat memahami dan menerima dasar baik kerajaan negeri. Tingkatkan penerangan dan unit media kerajaan negeri.
“Saya bersedia untuk menyampaikan fakta ekonomi yang tepat kepada rakyat dalam memastikan kejayaan kita, negeri Selangor yang maju dan makmur,” katanya.
