G-Wagon Datuk, Vellfire bekas pemain Harimau Malaya disita JPJ
KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menyita sebuah Toyota Vellfire dipercayai milik bekas pemain bola sepak kebangsaan serta sebuah Mercedes-Benz AMG Brabus G-Wagon milik seorang pakar motivasi bergelar Datuk menerusi Operasi Khas Kenderaan Mewah (Ops Luxury), semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Malaysia, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, Toyota Vellfire itu ditahan ketika operasi dijalankan di kawasan Bukit Bintang kira-kira jam 4 pagi selepas pemeriksaan mendapati Lesen Kenderaan Motor (LKM), perlindungan insurans serta lesen memandu pemandunya telah tamat tempoh.

Menurut beliau, pemandu MPV mewah berkenaan dipercayai merupakan individu berkait dengan bekas pemain Harimau Malaya terbabit. JPJ turut mengesahkan kenderaan tersebut gagal memperbaharui cukai jalan dan insurans sejak tahun lalu.
Dalam operasi sama, sebuah Mercedes-Benz AMG Brabus G-Wagon milik seorang pakar motivasi terkenal bergelar Datuk turut disita selepas didapati tidak mempunyai perlindungan insurans selain mempunyai tunggakan LKM mencecah RM3,221 sejak 4 Mei lalu.
Jazmanie berkata, tindakan penguatkuasaan itu dibuat tanpa mengira status atau latar belakang pemilik kenderaan bagi memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi undang-undang ditetapkan.
Menurut beliau, sebanyak 1,814 sitaan kenderaan mewah direkodkan JPJ sejak tahun lalu membabitkan pelbagai jenama termasuk Lamborghini, Bentley dan Porsche atas pelbagai kesalahan berkaitan cukai jalan serta insurans.
Katanya, antara kes tertinggi yang direkodkan melibatkan sebuah Porsche 911 Turbo dengan tunggakan LKM berjumlah RM16,067 manakala sebuah Bentley pula dikesan tidak memperbaharui cukai jalan sejak 2023.
JPJ menegaskan penggunaan kenderaan tanpa cukai jalan dan insurans sah bukan sahaja melanggar undang-undang, malah boleh mengundang risiko besar kepada pengguna jalan raya sekiranya berlaku kemalangan.
