NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Dunia

[TERKINI] Runtuhan bangunan Filipina: Dua dikesan masih hidup, rakyat Malaysia antara yang selamat

MANILA: Dua mangsa yang terperangkap dalam runtuhan bangunan sembilan tingkat di Angeles City, Filipina dilaporkan masih hidup dan sedang berkomunikasi dengan pasukan penyelamat ketika operasi mencari dan menyelamat terus dijalankan.

Menurut pegawai maklumat bandar, Jay Pelayo, kedua-dua mangsa berada dalam keadaan sedar dan usaha sedang dipergiat bagi membawa mereka keluar dari bawah timbunan konkrit serta besi runtuhan bangunan berkenaan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 24 individu berjaya diselamatkan termasuk mereka yang berada berhampiran lokasi kejadian, manakala tiada kematian dilaporkan setakat ini.

Antara mangsa yang berjaya diselamatkan ialah seorang lelaki warga Malaysia berusia 51 tahun yang menginap di sebuah hotel bajet berhampiran lokasi kejadian, yang turut mengalami kerosakan akibat runtuhan tersebut.

Pita amaran dipasang mengelilingi kawasan bangunan runtuh di Angeles City, wilayah Pampanga, utara Manila, Filipina. – Foto AP

Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Luar mengesahkan dua rakyat Malaysia terkesan dalam insiden itu dengan seorang disahkan selamat, manakala status seorang lagi masih dalam proses pengesahan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Manila.

Media tempatan melaporkan bangunan konkrit sembilan tingkat yang masih dalam pembinaan itu runtuh awal pagi Ahad di Angeles City, utara Manila. Pihak berkuasa percaya kira-kira 19 pekerja berada di lokasi ketika kejadian, namun jumlah sebenar mangsa yang masih terperangkap masih belum dapat dipastikan.

Operasi menyelamat kini berdepan cabaran besar berikutan timbunan konkrit dan besi yang menghempap kawasan runtuhan, dengan jentera berat turut digerakkan bagi membantu usaha mencari mangsa. Punca kejadian masih dalam siasatan pihak berkuasa Filipina.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *