Rodziah Galau Fikir Rasional Parlimen Ampang Dibeku Peruntukan Kawasan Tiba-Tiba
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail mendakwa pusat khidmatnya tidak lagi mempunyai akses kepada sistem MyKhas yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.
Rodziah berkata, keadaan itu menjejaskan urusan pengurusan dan penyaluran peruntukan untuk pelaksanaan pelbagai program kemasyarakatan, bantuan kepada penduduk, aktiviti keraian serta kerja-kerja infrastruktur di bawah Projek Mesra Rakyat (PMR) di Parlimen Ampang.
Menurut beliau, tindakan itu menimbulkan persoalan kerana beliau masih merupakan anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sah.
“Saya masih kekal sebagai anggota PKR Cabang Shah Alam. Saya tidak pernah mengisytiharkan keluar parti, menyertai mana-mana parti politik lain atau meletakkan jawatan sebagai anggota PKR,” katanya dalam satu kenyataan.
Rodziah berkata, beliau juga tidak pernah menyokong mana-mana parti lain atau menentang dasar serta undang-undang Kerajaan Perpaduan yang dibentangkan di Parlimen, selaras dengan mandat yang diberikan pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, keputusan membekukan akses kepada peruntukan kawasan itu dibuat tanpa sebarang penjelasan.
“Saya tertanya-tanya apakah rasional atau alasan sebenar di sebalik tindakan membekukan peruntukan kawasan Parlimen Ampang secara tiba-tiba.
“Jika ia berpunca daripada isu teknikal atau pentadbiran, saya berhak diberikan penjelasan secara telus dan penyelesaian segera,” katanya.
Sebelum ini, dua lagi Ahli Parlimen yang dikaitkan dengan bekas Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, iaitu Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Subang, Wong Chen, turut dilaporkan tidak lagi mempunyai akses kepada sistem berkenaan.
Mengulas lanjut, Rodziah berkata, sekiranya tindakan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu dikaitkan dengan kehadirannya pada satu program di Petaling Jaya pada 17 Mei lalu, beliau telah mengemukakan penjelasan rasmi kepada Lembaga Disiplin PKR pada 23 Jun.
Menurutnya, sehingga kini beliau masih belum menerima sebarang maklum balas terhadap penjelasan yang dikemukakan sebagai respons kepada notis bertarikh 16 Jun.
Beliau turut mempersoalkan layanan berbeza terhadap beberapa Ahli Parlimen lain.
“Enam Ahli Parlimen pembangkang daripada BERSATU terus menerima peruntukan kawasan selepas menyatakan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan, manakala beberapa Ahli Parlimen kerajaan termasuk anggota Kabinet daripada BN bebas mengkritik kerajaan tanpa menjejaskan peruntukan kawasan mereka.
“Keadaan ini menimbulkan persepsi seolah-olah wujud layanan berbeza dalam pengurusan peruntukan kawasan,” katanya.
Rodziah berkata, walaupun tidak mempertikaikan hak mana-mana Ahli Parlimen menerima peruntukan, situasi itu dilihat bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) pada PRU15 yang menjanjikan agihan peruntukan pembangunan kawasan secara adil kepada semua Ahli Parlimen tanpa mengira parti politik melalui institusi Parlimen, dan bukan Pejabat Perdana Menteri.
Menurut beliau, komitmen itu bukan sahaja merupakan janji pilihan raya, malah mencerminkan semangat reformasi institusi yang diperjuangkan PH.
