Tiga Peserta RXZ Members Maut, Waris Layak Terima Faedah dan Pencen PERKESO
KUALA LUMPUR — Waris tiga peserta program RXZ Members 8.0 yang maut dalam beberapa kemalangan jalan raya pada 31 Julai dan 1 Ogos lalu disahkan layak menerima faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).
Seorang lagi peserta yang mengalami kecederaan turut mendapat perlindungan menerusi skim PERKESO.
Menurut PERKESO, semakan Skuad PERKESO Prihatin mendapati keempat-empat peserta berusia antara 20 hingga 47 tahun itu merupakan pencarum aktif di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Kes pertama melibatkan Mohd Fauzi Othman, 44, yang maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas di Kilometer 184.9 Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) menghala ke Terengganu pada 31 Julai.
Balu dan lima anak Allahyarham layak menerima Faedah Pengurusan Mayat (FPM) sebanyak RM3,000 secara sekali bayar, selain Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,794.58 sebulan mengikut syer masing-masing.
Pencen itu akan dibayar kepada balunya sepanjang hayat, manakala anak-anak layak menerimanya sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian peringkat ijazah pertama.
Waris Zulkanain Mat Said, 39, yang maut dalam kemalangan di Gambang pada tarikh sama pula layak menerima FPM sebanyak RM3,000 dan Faedah Pencen Penakat berjumlah RM1,840.13 sebulan.
Balu Allahyarham layak menerima pencen itu sepanjang hayat, sementara tiga anaknya dilindungi sehingga berusia 21 tahun atau tamat pengajian ijazah pertama.
Sementara itu, waris Muhammad Shahrul Mohd Sabri, 20, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 258.6 LPT2 menghala ke Terengganu pada 1 Ogos, layak menerima FPM serta Faedah Orang Tanggungan (FOT) di bawah Skim LINDUNG 24 Jam.
Memandangkan Allahyarham belum berkahwin, FPM sebanyak RM3,000 akan disalurkan terus kepada waris. FOT berjumlah RM1,115.10 sebulan pula akan diagihkan mengikut syer kepada ibu bapanya sepanjang hayat serta tiga adiknya sehingga berusia 21 tahun.
Jika dihitung untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun, keseluruhan FOT yang bakal diterima keluarga berkenaan dianggarkan melebihi RM260,000.
Dalam kejadian berasingan, Durulmaizi Salamon, 47, yang cedera pada bahu dan kaki kanan dalam kemalangan di Kilometer 294 LPT2, Kemaman pada 31 Julai, layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara dan Bayaran Ganti Belanja berdasarkan tempoh cuti sakit serta kos rawatan.
Suaminya yang maut dalam kemalangan sama tidak layak menerima faedah PERKESO kerana bukan pencarum. Bagaimanapun, kes itu telah dirujuk kepada agensi lain menerusi inisiatif Social Synergy bagi mendapatkan bantuan lanjut.
PERKESO turut menasihatkan pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati dan mendapatkan perlindungan sewajarnya bagi menjaga kebajikan diri serta waris sekiranya berlaku kemalangan di luar waktu bekerja.
