ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Politik

Barisan Nasional Akan Adakan Taklimat Khas Laporan RCI Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) akan mengadakan taklimat khas pada 10 Ogos ini bagi membincangkan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Lembaga Tabung Haji (TH) yang baru-baru ini dinyahklasifikasikan oleh kerajaan.

Perkara itu disahkan menerusi surat jemputan kepada media yang dikeluarkan semalam.

Taklimat berkenaan diadakan sehari sebelum sidang khas Dewan Rakyat pada 11 Ogos yang dijadual membahaskan dapatan laporan RCI tersebut.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dijangka mempengerusikan mesyuarat yang akan berlangsung pada pukul 5 petang di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Surat jemputan yang ditandatangani Setiausaha Eksekutif BN, Datuk Mohamad Sahfri Ab Aziz itu turut dihantar kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran serta pemimpin parti-parti komponen BN.

Turut dijemput menghadiri taklimat berkenaan ialah Ahli Dewan Negara, Ahli Parlimen dan pemimpin gabungan itu.

Pada 31 Julai lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan sidang khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 11 Ogos bagi membahaskan penemuan laporan RCI mengenai TH.

Sidang khas itu diadakan susulan keputusan Jemaah Menteri untuk menyahklasifikasikan laporan berkenaan bagi membolehkan agensi penguat kuasa menjalankan siasatan lanjut berdasarkan dapatan yang dikemukakan.

Laporan RCI itu antara lain mengesyorkan audit forensik terhadap beberapa keputusan pelaburan lampau yang dipercayai menyumbang kepada kemerosotan nilai aset TH.

Siasatan yang meliputi tempoh pengurusan dan operasi TH dari 2014 hingga 2020 itu turut mengenal pasti beberapa pelaburan yang memerlukan penelitian forensik lanjut.

Suruhanjaya berkenaan juga mendapati terdapat bukti transaksi mencurigakan serta unsur penyembunyian maklumat dalam beberapa urusan yang dikaji.

Dalam perkembangan berkaitan, kerajaan turut menubuhkan pasukan petugas khas bagi meneliti dapatan laporan RCI itu, termasuk kemungkinan berlakunya kesalahan seperti rasuah, pecah amanah jenayah, pemalsuan dokumen, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.

Sidang khas Dewan Rakyat minggu depan dijangka menjadi platform bagi membincangkan implikasi laporan tersebut serta langkah susulan yang akan diambil oleh kerajaan dan pihak berkuasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *