Home / Malaysia / LEBIH 117,000 KANDUNGAN BULI, PALSU DAN FITNAH DITURUNKAN SEJAK 2022

LEBIH 117,000 KANDUNGAN BULI, PALSU DAN FITNAH DITURUNKAN SEJAK 2022

KUALA LUMPUR – Lebih 117,000 kandungan berunsur buli, palsu dan fitnah di platform dalam talian telah diturunkan susulan permohonan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 15 September 2026.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, berkata jumlah itu merangkumi 60,632 kandungan berunsur buli, 55,895 kandungan palsu dan 1,277 kandungan fitnah.

Menurut beliau, kerajaan terus memperkukuh keselamatan digital menerusi penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2026.

Usaha itu turut disokong melalui pindaan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta kerjasama strategik antara MCMC dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), termasuk bantuan teknikal, perkongsian maklumat dan analisis forensik digital.

Dalam menangani penyebaran maklumat palsu, Portal Sebenarnya.my turut menerbitkan sebanyak 1,211 artikel semakan fakta sejak 2022 hingga September 2026.

Selain itu, pembantu semakan fakta berasaskan kecerdasan buatan (AIFA) yang diperkenalkan pada 28 Januari 2025 telah memproses 242,706 mesej pengguna sehingga 15 September 2026.

Kempen Internet Selamat yang dilancarkan pada Januari 2025 pula berjaya menjangkau lebih 2.8 juta peserta menerusi program di sekolah, institusi pengajian tinggi dan komuniti di seluruh negara sehingga 30 September 2026.

Fahmi menegaskan, kerjasama antara agensi penguatkuasaan, penyedia platform dan masyarakat akan terus diperkukuh bagi memastikan keselamatan ruang digital tanpa menjejaskan kebebasan bersuara yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *