KATHMANDU – Seorang pelancong warga India maut manakala tiga individu lain cedera selepas dua helikopter bertembung ketika cuba mendarat di kawasan Pheriche, berhampiran Gunung Everest, Nepal, pada Selasa.
Kejadian berlaku kira-kira jam 8.12 pagi waktu tempatan dan membabitkan helikopter milik dua syarikat penerbangan swasta, Fishtail Air dan Air Dynasty.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Vasanth Kumar Balaramudu, 47. Tiga individu yang cedera pula terdiri daripada dua warga asing, termasuk seorang rakyat New Zealand, serta seorang juruterbang warga Nepal.
Menurut laporan, ketiga-tiga mangsa berada dalam helikopter kendalian Fishtail Air, manakala helikopter Air Dynasty membawa muatan kargo.
Dua mangsa yang cedera dilaporkan menerima rawatan di Kathmandu, sementara seorang lagi mendapatkan rawatan di Lukla.
Ketua Pengarah Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Nepal, Mukesh Dangol berkata, siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. Maklumat awal menunjukkan kemungkinan berlaku salah komunikasi antara juruterbang ketika kedua-dua helikopter menghampiri kawasan pendaratan.
Pheriche yang terletak pada ketinggian kira-kira 4,371 meter dari aras laut merupakan antara lokasi persinggahan popular pendaki sebelum meneruskan perjalanan ke Kem Pangkalan Everest.
Insiden berlaku ketika Nepal memasuki musim puncak pendakian, yang menyaksikan peningkatan penggunaan helikopter untuk membawa pendaki, pelancong dan bekalan, selain membantu operasi pemindahan kecemasan.









