WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bahawa negaranya akan menghentikan bantuan kewangan tahunan berjumlah AS$4 bilion kepada Israel selepas penghujung tahun ini.
Trump berkata keputusan itu dibuat hasil persetujuan bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, yang menurutnya sudah dibincangkan sejak beberapa tahun lalu.
Bagaimanapun, Trump menjelaskan AS masih akan membantu Israel sekiranya diperlukan, termasuk meneruskan penjualan senjata kepada sekutu rapatnya di Asia Barat itu.
Beliau turut mendakwa Israel tidak lagi memerlukan bantuan berkenaan, selain menyifatkan peruntukan tersebut sebagai isu politik yang sering digunakan pihak Demokrat untuk mengkritik sokongan Washington terhadap Israel.
Namun, pelaksanaan keputusan itu masih belum jelas memandangkan perjanjian bantuan ketenteraan AS-Israel sedia ada bernilai AS$38 bilion bagi tempoh 10 tahun hanya dijadualkan berakhir pada 2028.
Sebarang perubahan turut memerlukan penelitian Kongres AS, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada penghentian bantuan itu benar-benar dapat dilaksanakan seawal 2027.
Sumber : Reuters









