PM Tegaskan Institusi Raja-Raja Perlu Dipelihara, Kemelut Negeri Sembilan Perlu Ikut Saluran Betul
SHANGHAI – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak supaya terus memelihara dan memartabatkan institusi Raja-Raja Melayu, khususnya ketika kemelut berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan menjadi perhatian.
Menurut beliau, sebarang perbezaan pandangan atau pertelingkahan masih boleh dibincangkan, namun perkara berkenaan perlu diselesaikan melalui saluran yang betul.
Anwar turut mengkritik tindakan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Ismail Lasim dan barisan Exco negeri berhubung beberapa perkara berkaitan institusi raja yang menurutnya telah mencetuskan polemik.
Beliau menyifatkan tindakan berkenaan sebagai perkara serius dan mempersoalkan mandat untuk mempertikaikan kedudukan Raja.
“Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?” katanya ketika ditemui media dalam perjalanan menuju ke Hangzhou.
Perdana Menteri turut menegaskan Kerajaan Persekutuan berpegang kepada Perlembagaan dan akan mempertahankan prinsip tersebut sekiranya terdapat tindakan yang dianggap mencemari atau melanggarnya.
Kenyataan itu dibuat selepas Mesyuarat Khas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan pada 22 September memutuskan untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal, berkuat kuasa serta-merta.
Sumber: Astro AWANI / BERNAMA
Gambar: FB Anwar Ibrahim
