KUALA LUMPUR – Sekeping gambar lama yang diserahkan seorang pelajar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengimbau kembali detik bersejarah ketika beliau meraikan kemenangan pertama di kerusi Parlimen Permatang Pauh pada 1982.
Gambar berkenaan diserahkan oleh Zahra Mohamad Zelman, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah, ketika beliau bersama rakan-rakannya bertemu Anwar di Parlimen.
Menurut Anwar, gambar itu merakamkan detik beliau diraikan oleh Allahyarham Arshad Ahmad, iaitu moyang kepada Zahra, selepas memenangi kerusi Parlimen berkenaan buat kali pertama.

Anwar berkata, meskipun peristiwa itu sudah lama berlalu, kenangan terhadap individu yang pernah menjadi sebahagian daripada perjalanan perjuangannya tetap terpahat dalam ingatan.
Beliau turut menyifatkan gambar berkenaan sebagai sekeping kenangan yang menyimpan pelbagai kisah dan makna.
Dalam pertemuan itu, Anwar turut menitipkan pesanan kepada Zahra dan rakan-rakannya agar terus menuntut ilmu, berani menyimpan cita-cita serta tidak berputus asa dalam mengejar impian.
Beliau juga mendoakan agar perjalanan hidup pelajar berkenaan sentiasa dipermudah dan masa depan mereka dipenuhi harapan.









