SUNGAI BULOH – Belum sempat penduduk pulih daripada kejadian terdahulu, Kampung Melayu Subang sekali lagi dilanda banjir kilat susulan hujan lebat pada Isnin, menjadikan kejadian itu yang keempat dalam tempoh 30 hari.
Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan berkata, tiga kejadian banjir direkodkan sepanjang Oktober, manakala satu lagi berlaku pada awal November.
Kejadian berulang itu menjejaskan hampir 550 rumah dan dianggarkan melibatkan kira-kira 1,500 penduduk.
Menurut Ramanan, pasukan tindak balas pantas telah digerakkan bagi membantu kerja pembersihan rumah serta menyediakan makanan dan barangan keperluan asas kepada penduduk terjejas.
Dalam usaha mengurangkan risiko banjir sementara menunggu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) disiapkan, kerajaan turut merancang pembinaan kolam tadahan di kawasan berkenaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini mengarahkan supaya langkah segera diambil bagi menangani masalah banjir berulang itu. Projek RTB Fasa 1 dan Fasa 2 bagi kawasan Sungai Buloh serta Sungai Damansara pula sedang dilaksanakan secara berperingkat.
Ramanan menjelaskan, pembinaan kolam tadahan bukan bertujuan menghapuskan banjir sepenuhnya, sebaliknya mengurangkan jumlah air dan kesan limpahan ketika hujan lebat
Sumber : Berita Harian
Foto : Video Tular









