KUALA LUMPUR – Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) merekodkan lebih RM14 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) setakat 30 September 2026, dengan sebahagian pemilik dipercayai tidak menyedari kewujudan wang yang masih menjadi hak mereka.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, antara faktor utama jumlah itu masih belum dituntut ialah kurangnya kesedaran orang ramai mengenai kewujudan WTD serta hak untuk membuat tuntutan.
Selain itu, terdapat pemilik yang gagal dikesan kerana maklumat perhubungan seperti alamat dan nombor telefon tidak lagi tepat atau tidak dikemas kini.
Situasi turut berlaku apabila pemilik meninggal dunia tanpa waris atau pentadbir harta pusaka mengetahui kewujudan wang berkenaan. Ada juga waris yang berdepan kesukaran mendapatkan dokumen bagi membuktikan hak terhadap wang tersebut.
Menurut Amir Hamzah, terdapat pemilik yang sudah mengetahui kewujudan WTD tetapi masih belum membuat tuntutan atas faktor peribadi atau kekangan masa.
Bagi memudahkan proses mendapatkan semula wang berkenaan, orang ramai boleh membuat semakan dan tuntutan secara dalam talian menerusi portal eGUMIS kendalian JANM tanpa dikenakan sebarang caj.
Portal itu turut diintegrasikan dengan MyGov Malaysia sejak 22 Januari lalu bagi memudahkan akses kepada perkhidmatan kerajaan.
Setakat 30 Oktober, JANM telah melaksanakan 176 program reruai WTD di seluruh negara, berbanding 89 program pada 2025. Perkhidmatan bas bergerak turut disediakan dua kali sebulan bagi mendekatkan kemudahan semakan dan tuntutan kepada masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
Sumber : SINAR HARIAN
Foto : BERNAMA









