Ronaldo Bayangkan Musim Terakhir Sebelum Bersara Daripada Bola Sepak
RIYADH – Cristiano Ronaldo membayangkan musim ini mungkin menjadi penampilan terakhirnya sebagai pemain bola sepak profesional, sekali gus memberi petunjuk jelas bahawa karier gemilangnya yang menjangkau lebih dua dekad semakin menghampiri penghujung.
Legenda Portugal berusia 41 tahun itu berkata beliau mahu meninggalkan legasi luar biasa sebelum mengucapkan selamat tinggal kepada sukan yang menjadi sebahagian besar kehidupannya sejak usia muda.
Dalam temu bual bersama majalah Vogue sempena perkahwinannya dengan Georgina Rodriguez baru-baru ini, Ronaldo berkata beliau telah merancang kehidupan selepas persaraan dan bersedia menghadapi cabaran baharu di luar padang.
“Ini mungkin tahun terakhir saya dalam bola sepak dan saya mahu meninggalkan satu warisan yang luar biasa.
“Saya mempunyai begitu banyak perkara untuk dilakukan sehingga sukar untuk memberitahu hanya satu.
“Apabila bola sepak berakhir, ia mungkin meninggalkan ruang kosong yang besar, jadi anda perlu mengisi masa dengan pelbagai perkara, bukan hanya satu,” katanya.
Ronaldo berkata kehidupan selepas persaraan tidak akan tertumpu kepada satu aktiviti sahaja, sebaliknya beliau mahu meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga serta menikmati hasil pengorbanan sepanjang kariernya.
“Dan juga lebih banyak berseronok, melancong, menonton dan bermain padel, yang sangat saya gemari, serta terus menikmati apa yang telah saya peroleh. Lagipun, sudah 25 tahun dengan begitu banyak pengorbanan,” katanya.
Sepanjang kariernya, Ronaldo mencipta pelbagai rekod dan kejayaan termasuk memenangi lima anugerah Ballon d’Or, lima gelaran Liga Juara-Juara UEFA serta kejuaraan liga di England, Sepanyol, Itali dan Arab Saudi.
Namun, satu-satunya trofi utama yang masih belum dirangkulnya ialah Piala Dunia.
Impian itu sekali lagi tidak kesampaian selepas Portugal tersingkir daripada edisi kejohanan dunia tahun ini, sekali gus menyaksikan trofi paling berprestij dalam bola sepak itu masih belum menghiasi koleksi kejayaannya.
Kapten Portugal itu kini terus beraksi bersama juara Liga Pro Saudi, Al-Nassr, dan masih mempunyai baki setahun dalam kontraknya.
Meskipun menghampiri penghujung karier, Ronaldo masih memburu satu lagi pencapaian bersejarah apabila kini mengumpul 976 gol untuk kelab dan negara.
Beliau hanya memerlukan 24 lagi jaringan untuk mencapai angka 1,000 gol dalam karier profesional.
Ronaldo tidak diturunkan ketika Al-Nassr membuka kempen mempertahankan kejuaraan Liga Pro Saudi menentang Al Fateh pada Sabtu, namun hadir di stadium menyaksikan kemenangan pasukannya bersama keluarga.
Dilahirkan dalam keluarga serba kekurangan di pulau Madeira, Portugal, Ronaldo kemudiannya mencipta sejarah sebagai pemain bola sepak pertama bergelar bilionair dan berkembang menjadi antara figura sukan paling dikenali di dunia.
Sekiranya musim ini benar-benar menjadi yang terakhir buatnya, tirai bakal menutup sebuah era yang menyaksikan Ronaldo muncul sebagai antara pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dunia.
