Ally Mukhriz Selamat Lahir Bayi Lelaki, Cicit Pertama Tun Mahathir Dan Tun Siti Hasmah
KUALA LUMPUR – Anak kepada Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ally Mukhriz, selamat melahirkan bayi sulung lelaki yang diberi nama Eden Zakaria Ezran Cheah pada Ahad.
Kelahiran bayi seberat 2.9 kilogram itu sekali gus menjadikan Eden Zakaria sebagai cicit pertama bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
Berita gembira itu dikongsikan Ally atau nama sebenarnya Meera Alyanna Mukhriz menerusi media sosial semalam.
Menurut Ally, cahaya mata sulung bersama suaminya, Ezran Daud Cheah, dilahirkan pada 8.48 pagi.
“Ezran and I are happy to announce the birth of our baby boy, Eden Zakaria Ezran Cheah. Born 16.08.26 at 8:48am at 2.9kg.
“Thank you everyone for sending the well wishes and we hope to share more soon,” katanya menerusi perkongsian itu.

Ibu Ally, Tok Puan Norzieta Zakaria, turut berkongsi kegembiraan dengan memuat naik ucapan menyambut kehadiran cucu sulungnya.
“Assalamualaikum. Praise be to Allah. Our hearts are overflowing with love as we proudly welcome our precious grandson into the family.
“Welcome to the world, little one! You are already so deeply loved,” tulis Norzieta menerusi hantaran di akaun Instagramnya.
Pada Februari lepas, Ally mengumumkan kehamilan cahaya mata sulung selepas melalui perjalanan panjang menjalani rawatan kesuburan termasuk prosedur persenyawaan in vitro (IVF).
Ally mendirikan rumah tangga dengan Ezran Daud Cheah pada 20 Februari 2020 dan pasangan itu sering berkongsi perjalanan mereka dalam usaha mendapatkan cahaya mata bersama pengikut di media sosial.
Kelahiran Eden disambut dengan ucapan tahniah daripada ahli keluarga, rakan serta pengikut yang membanjiri ruangan komen media sosial pasangan berkenaan.
