Akta MARA baharu bakal perkemas tadbir urus, disiplin kewangan
KUALA LUMPUR: Cadangan menggantikan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 dengan akta baharu pada 2026 dilihat sebagai langkah penting untuk menyesuaikan pengurusan agensi itu dengan perkembangan dan skala operasinya ketika ini.
Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penggubalan undang-undang baharu itu bukan sekadar perubahan dari sudut perundangan, sebaliknya menjadi sebahagian daripada usaha memperkukuh keseluruhan sistem tadbir urus serta pengurusan kewangan MARA.
Menurut beliau, kira-kira 80 peratus kandungan Rang Undang-Undang (RUU) MARA 2026 memberi tumpuan kepada aspek tadbir urus korporat, termasuk usaha memperkemas struktur pentadbiran dan mengukuhkan mekanisme semak dan imbang.
Langkah itu penting memandangkan MARA kini mengurus operasi yang jauh lebih besar dan kompleks berbanding ketika akta sedia ada diperkenalkan sekitar enam dekad lalu.
Antara penambahbaikan yang telah dilaksanakan termasuk mengetatkan disiplin kewangan di semua bahagian MARA, menjalankan audit forensik terhadap syarikat subsidiari serta menyusun semula sistem audit dalaman.
MARA juga mengambil langkah memperkemas bahagian perolehan selain memperkenalkan pelaporan prestasi kewangan secara bulanan kepada Majlis MARA mengikut piawaian antarabangsa.
Asyraf Wajdi berkata, usaha memperbaiki tadbir urus itu bermula selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi MARA pada Mac 2023, termasuk penubuhan pasukan khas yang diketuai bekas Gabenor Bank Negara Malaysia, Tan Sri Muhammad Ibrahim.
Beliau sebelum ini menjelaskan bahawa pembaharuan tersebut diperlukan bagi menutup ruang kepada kelemahan pengurusan, salah guna kuasa, ketirisan dan pembaziran yang boleh menjejaskan peranan MARA dalam pembangunan pendidikan serta ekonomi Bumiputera.
Dalam masa sama, akta baharu berkenaan dijangka memberi penekanan lebih jelas terhadap tanggungjawab serta kuasa setiap pihak dalam struktur MARA bagi memastikan keputusan dibuat secara lebih telus dan bertanggungjawab.
RUU MARA 2026 telah mendapat kelulusan dasar Jemaah Menteri dan dijangka dibentangkan di Parlimen sebelum penghujung tahun ini.
Pembaharuan itu diharap dapat memastikan MARA kekal kukuh sebagai institusi yang mengurus amanah besar dalam bidang pendidikan, keusahawanan dan pembangunan Bumiputera, selain mempunyai sistem pengurusan yang lebih selari dengan keperluan semasa.
