UKK Setiap Kementerian Perlu Perhalusi Komunikasi Dasar, Pencapaian Kerajaan
PUTRAJAYA – Unit Komunikasi Korporat (UKK) di setiap kementerian perlu memperhalusi kaedah komunikasi dalam menjelaskan kesan sebenar dasar dan pencapaian kerajaan kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil.
Beliau berkata pencapaian kerajaan tidak seharusnya disampaikan dengan hanya menumpukan kepada angka dan statistik, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada impak yang dekat dengan kehidupan seharian rakyat.
“Saya tahu Jabatan Penerangan sering kali mengumpulkan maklumat berkaitan isu-isu yang bersifat lokal dan paling memberi kesan kepada rakyat, sama ada masalah tempat, jalan, rumah, jabatan yang rosak, sekolah yang daif dan memerlukan bantuan segera, ataupun perkara-perkara yang bersifat emotif dan emosional.
“Jadi, perkara ini kita perlu cakna dan kita perlu bantu kementerian-kementerian lain untuk memahami rakyat tentang isu-isu yang mungkin bagi kementerian atau pihak berkepentingan, mereka tidak sedar bahawa rakyat sebenarnya kurang faham,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi bagi Ogos 2026 di sini hari ini.
Fahmi berkata pendekatan komunikasi yang lebih menyeluruh turut diperlukan dalam menjelaskan isu besar yang mempunyai implikasi kepada rakyat, termasuk laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji.
Menurut beliau, penerangan mengenai laporan berkenaan perlu disampaikan secara jelas bagi memastikan rakyat memahami konteks, dapatan serta tindakan susulan yang berkaitan.
“Laporan RCI itu dibentangkan tanpa kehadiran Perdana Menteri. Dalam sejarah sidang Parlimen, terdapat mungkin lima atau enam RCI sebelum ini dan laporan-laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja tidak pernah dibentangkan, kecuali oleh menteri yang berkaitan.
“Jadi, menteri yang menjawab laporan tersebut ialah menteri yang berkaitan. Dalam hal ini, Menteri Agama yang membentangkan RCI tersebut adalah sebagai satu bentuk penerangan kepada rakyat, bukan semata-mata untuk menjawab apa yang disyorkan,” katanya.
Sehubungan itu, Fahmi berkata pasukan komunikasi kerajaan perlu memastikan maklumat berkaitan dasar, pencapaian dan tindakan kerajaan disampaikan dalam bentuk yang mudah difahami serta mempunyai kaitan langsung dengan kehidupan rakyat.
Beliau berkata pendekatan berkenaan penting bagi memastikan mesej kerajaan bukan sahaja sampai kepada rakyat, malah dapat difahami dalam konteks yang tepat.
