NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Hiburan

Arif Aiman Sah Bergelar Suami Kepada Nurul Aliah Natasha

KUALA LUMPUR – Bintang sensasi Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi selamat melangsungkan pernikahan dengan pilihan hatinya, Nurul Aliah Natasha Md Hairushahri hari ini.

Majlis akad nikah pasangan berkenaan difahamkan berlangsung dalam suasana sederhana tetapi meriah di sebuah lokasi di Johor Bahru dengan dihadiri ahli keluarga serta kenalan rapat kedua-dua belah pihak.

Perkhabaran pernikahan pemain kebangsaan berusia 24 tahun itu pantas mencuri perhatian peminat bola sepak tempatan selepas beberapa gambar dan video majlis mula tular di media sosial.

Menerusi perkongsian tersebut, Arif Aiman dan isterinya tampil segak serta anggun mengenakan busana sedondon berwarna putih yang menyerlahkan seri pengantin baharu.

Detik paling menyentuh hati pastinya apabila Arif dilihat tidak dapat menahan sebak sebaik selesai melafazkan akad nikah sebelum memeluk ibunya dalam suasana penuh emosi.

Momen itu turut mengundang rasa terharu dalam kalangan peminat yang mengikuti perkembangan majlis berkenaan menerusi media sosial.

Ruangan komen dibanjiri ucapan tahniah dan doa daripada penyokong Harimau Selatan serta peminat bola sepak tanah air yang mendoakan kebahagiaan pasangan berkenaan.

Majlis resepsi pasangan itu dijadual berlangsung pada sebelah malam dan dijangka lebih meriah dengan keberangkatan tiba Tunku Mahkota Ismail selaku Pemangku Sultan Johor dan pemilik JDT.

Sebelum ini, kad undangan pernikahan Arif yang tersebar di media sosial terlebih dahulu mencetuskan keterujaan dalam kalangan penyokong bola sepak tempatan.

Arif yang kini dianggap antara tonggak utama skuad Harimau Malaya dan JDT terus menerima limpahan ucapan tahniah daripada peminat yang gembira melihat bintang muda itu memulakan fasa baharu dalam kehidupannya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *