NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Krisis Bekalan Global: 7,057 Orang Hilang Kerja Pada April, Sektor Penerbangan Merosot

PUTRAJAYA – Seramai 7,057 pekerja di negara ini dilaporkan kehilangan pekerjaan pada April lalu, meningkat 21 peratus berbanding 5,855 pekerja yang direkodkan pada Mac.

Bagaimanapun, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata jumlah itu masih lebih rendah berbanding Januari yang mencatatkan 10,658 kehilangan pekerjaan dan Februari sebanyak 7,512 kes.

“Setiap angka itu mewakili sebuah keluarga yang kehilangan sumber pendapatan.

“Kerajaan akan memastikan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) atau LINDUNG Kerjaya di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) berfungsi dengan pantas bagi membantu golongan terjejas,” katanya pada Taklimat Krisis Bekalan Global selepas Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) Bilangan 12, hari ini.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata sektor penerbangan turut berdepan tekanan susulan peningkatan kos operasi dan gangguan laluan antarabangsa.

Menurutnya, pergerakan pesawat harian pada April 2026 merosot 31.5 peratus kepada 2,464 pesawat berikutan pembatalan laluan ke Asia Barat.

“Pengendalian kargo udara antarabangsa turut menurun 14.3 peratus kepada 1,784 kilogram, manakala kargo udara domestik susut 18 peratus kepada 420 kilogram akibat kenaikan kos bahan api dan pelarasan operasi syarikat penerbangan,” katanya.

Bagaimanapun, Akmal berkata aktiviti perdagangan maritim dan rantaian bekalan negara masih berada pada tahap baik apabila pengendalian kargo harian meningkat 8.3 peratus kepada 848.9 ribu freight weight tonnes (FWT).

Selain itu, pengendalian kontena turut mencatat peningkatan 8.3 peratus kepada 93.1 ribu Twenty-foot Equivalent Unit (TEUs) setakat April tahun ini.

Mengulas mengenai kos sara hidup, beliau mengakui rakyat masih berdepan tekanan kenaikan harga beberapa bahan mentah walaupun harga makanan secara keseluruhan masih terkawal.

“Harga daging lembu turun dua peratus kepada RM38.45 sekilogram, namun harga sawi meningkat 3.6 peratus kepada RM7.08 sekilogram.

“Walaupun begitu, terdapat premis dan kawasan tertentu yang menawarkan harga lebih rendah. Jadi kepada peniaga, jangan ambil kesempatan. Kerajaan akan terus menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan,” katanya.

Beliau turut menggesa rakyat memanfaatkan aplikasi PriceCatcher untuk membandingkan harga barangan dan menjadi pengguna bijak.

Akmal menegaskan keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan bekalan asas mencukupi, mengawal tekanan harga serta melindungi peluang pekerjaan rakyat.

“Sebarang intervensi dasar akan dilaksanakan secara berhati-hati, bersasar dan berasaskan data supaya bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar terkesan pada masa yang tepat,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *