ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Dunia

Lagi Warga Malaysia Ditahan Cuba Seludup Dadah Di Lapangan Terbang Indonesia

JAKARTA – Seorang warga Malaysia berusia 22 tahun ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas disyaki cuba menyeludup hampir satu kilogram dadah jenis methamphetamine (syabu) dan lebih 1,000 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset di Lapangan Terbang Antarabangsa Juanda, Sidoarjo.

Menurut laporan Jakarta Globe, suspek yang dikenali dengan inisial DI ditahan di Terminal 2 sejurus tiba dengan penerbangan Batik Air OD352 dari Kuala Lumpur ke Surabaya.

Pihak berkuasa berkata, pemeriksaan menemukan empat bungkusan mengandungi 990 gram methamphetamine serta empat lagi bungkusan mengandungi 1,089 pil ekstasi yang disembunyikan di bawah korset yang dipakai suspek.

Siasatan awal mendapati suspek mengaku bersetuju menjadi penghantar dadah untuk satu sindiket antarabangsa kerana berdepan masalah kewangan dan mempunyai hutang.

Komander Pangkalan Udara Tentera Laut Juanda, Kolonel Henoch Nasairus Virzawan berkata, cubaan suspek menyembunyikan dadah di bawah korset bagi mengelak dikesan pihak berkuasa bagaimanapun berjaya dipatahkan.

“Suspek cuba menyembunyikan narkotik itu di bawah korset yang dipakainya untuk mengelakkan pemeriksaan, namun cubaan itu berjaya digagalkan,” katanya pada sidang media pada Isnin.

Pihak berkuasa menganggarkan nilai pasaran dadah yang dirampas mencecah kira-kira Rp2.79 bilion (RM715,000) dan dipercayai mampu dibekalkan kepada lebih 6,500 pengguna.

Suspek bersama barang rampasan diserahkan kepada Polis Sidoarjo untuk siasatan lanjut, termasuk mengesan rangkaian sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang dipercayai terlibat.

Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun, penjara seumur hidup atau hukuman mati.

Kes itu berlaku hanya beberapa hari selepas seorang juruterbang syarikat penerbangan komersial Malaysia ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta kerana disyaki cuba menyeludup lebih 25 kilogram pil ekstasi ke Indonesia.

Juruterbang berkenaan, yang dikenali dengan inisial MS, ditahan pada 28 Julai selepas pemeriksaan ke atas bagasinya menemukan 70,114 pil ekstasi seberat 25.19 kilogram serta 2.7 gram methamphetamine.

Menurut pihak berkuasa Indonesia, MS mendakwa diupah sebanyak RM50,000 untuk membawa bekalan dadah itu ke Jakarta sebelum menyerahkannya kepada penerima yang akan menunggu di sebuah hotel.

Siasatan turut mendapati juruterbang berkenaan mengaku pernah melakukan dua penghantaran dadah sebelum ini, termasuk membawa methamphetamine ke Sabah dan kira-kira tujuh kilogram syabu ke Jakarta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *