ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK · HIBURAN · SANTAI

Malaysia

Media sosial: Pengesahan Umur Minimum 16 Tahun Guna MyKad Kini Diwajibkan

KUALA LUMPUR – Pemberi perkhidmatan media sosial berlesen kini diwajibkan melaksanakan mekanisme pengesahan umur menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad atau pasport bagi memastikan hanya individu berusia 16 tahun ke atas dibenarkan mendaftar dan memiliki akaun di platform masing-masing.

Kementerian Komunikasi memaklumkan langkah itu dilaksanakan menerusi Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) yang berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026.

Menurut kementerian, pengesahan umur perlu dibuat menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, pasport, sijil kelahiran atau dokumen lain yang diiktiraf.

“Bagi memastikan pematuhan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memantau pelaksanaan CPC oleh pemberi perkhidmatan berlesen.

“MCMC juga mengeluarkan notis bertulis di bawah Subseksyen 30(2) Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Akta 866) kepada penyedia perkhidmatan media sosial bagi mendapatkan penjelasan berhubung ketidakpatuhan serta langkah pelaksanaan mekanisme pengesahan umur,” menurut jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

Kementerian memaklumkan, di bawah Akta 866, pemberi perkhidmatan berlesen yang disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM1 juta serta denda tambahan RM100,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan.

Selain itu, MCMC turut mempunyai kuasa mengeluarkan Notis Ketidakpatuhan dan mengenakan penalti kewangan sehingga RM10 juta mengikut peruntukan akta berkenaan.

Jawapan itu diberikan bagi menjawab pertanyaan Senator Norhasmimi Abdul Ghani mengenai keberkesanan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dan CPC dalam melindungi kanak-kanak daripada buli siber, eksploitasi seksual, kandungan berbahaya serta ketagihan media sosial.

Mengenai tindakan terhadap penipuan dalam talian membabitkan iklan berbayar, akaun palsu serta kandungan dan laman sesawang memudaratkan, kementerian memaklumkan MCMC telah mengemukakan 292,102 permohonan penurunan kandungan penipuan dan akaun palsu bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 31 Julai 2026.

Daripada jumlah itu, sebanyak 279,875 kandungan atau 96 peratus berjaya diturunkan.

Bagi iklan, produk dan perkhidmatan yang tidak dibenarkan pula, sebanyak 20,114 permohonan penurunan dikemukakan, dengan 17,285 kandungan atau 86 peratus telah diturunkan.

Dalam tempoh sama, sebanyak 17,418 laman sesawang disekat, melibatkan 5,103 kes atau 29 peratus di bawah bidang kuasa MCMC, manakala 12,315 kes atau 71 peratus berada di bawah bidang kuasa agensi lain.

“Tindakan penurunan kandungan, sekatan akaun dan sekatan laman sesawang dilaksanakan berdasarkan penilaian aduan, garis panduan komuniti platform serta undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kementerian.

Jawapan itu diberikan kepada Senator Musoddak Ahmad berhubung tanggungjawab platform media sosial berlesen terhadap iklan berbayar yang menipu pengguna, termasuk tindakan pemadaman kandungan, sekatan akaun dan perkongsian maklumat pengiklan kepada pihak berkuasa.

Sementara itu, kementerian memaklumkan MCMC telah mengemukakan 14,169 permohonan penurunan kandungan berunsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja) bagi tempoh 1 Januari 2022 hingga 30 Jun 2026.

Daripada jumlah itu, sebanyak 8,750 kandungan atau 62 peratus telah diturunkan berdasarkan aduan yang diterima, garis panduan komuniti platform dan undang-undang tempatan yang berkuat kuasa.

Dalam tempoh sama, MCMC turut menyiasat 462 kes di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) berkaitan isu 3R, dengan 22 kes didakwa di mahkamah.

Daripada jumlah itu, 16 kes telah diputuskan manakala enam lagi masih dalam prosiding mahkamah.

Jawapan berkenaan dikemukakan bagi menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda mengenai tindakan terhadap individu yang berulang kali menyalahgunakan platform digital untuk mencetuskan provokasi, mengganggu ketenteraman awam atau menghasut masyarakat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *