BN Umum Calon PRN Johor Seminggu Sebelum Penamaan – Zahid
PUTRAJAYA – Barisan Nasional (BN) dijangka memuktamadkan senarai calon bagi semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dalam masa terdekat sebelum diumumkan seminggu menjelang hari penamaan calon.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu diambil bagi memberi ruang untuk menyelesaikan sebarang isu yang mungkin timbul di kawasan tertentu lebih awal.
“Saya akan memuktamadkan senarai calon BN bagi 56 kerusi DUN dalam tempoh terdekat. Insya-Allah, nama calon akan diumumkan seminggu sebelum hari penamaan calon.
“Pendekatan ini membolehkan sebarang isu berkaitan calon atau kawasan dapat ditangani lebih awal,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) di sini, hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, BN akan terus mengekalkan konsep WALI dalam pemilihan calon, iaitu winnable (boleh menang), acceptable (diterima rakyat) dan likeable (disukai pengundi).
Beliau berkata, gabungan calon berpengalaman dan muka baharu akan diketengahkan bagi memperkukuh barisan kepimpinan parti di Johor.
“Tiga prinsip ini akan terus menjadi asas pemilihan calon. Pada masa sama, kita akan menampilkan kombinasi antara penyandang dan muka baharu.
“Kali ini, lebih ramai bakat kepimpinan baharu akan diberi peluang untuk mewarnai landskap politik Johor,” katanya.
Mengulas persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, Ahmad Zahid berkata, BN kini sedang memperkukuh jentera sedia ada di samping menggerakkan bantuan tenaga kerja dan sokongan daripada negeri-negeri lain.
Pada 1 Jun lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran Dewan Undangan Negeri Johor selepas mendapat perkenan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, bagi memberi laluan kepada PRN Johor.
Pada PRN Johor 2022, BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan. Pakatan Harapan (PH) memenangi 12 kerusi, manakala Perikatan Nasional (PN) memperoleh tiga kerusi dan MUDA satu kerusi.
