NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Penjaga Rumah Kebajikan Lampias Nafsu Pada 5 Budak Dijel 36 Tahun, 6 Sebatan

AMPANG – Seorang penjaga rumah kebajikan kanak-kanak dijatuhi hukuman penjara 36 tahun dan enam sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas sembilan pertuduhan amang seksual terhadap lima kanak-kanak lelaki berusia antara lapan hingga 13 tahun.

Tertuduh, Retna Velu, 25, membuat pengakuan bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Ho Kwong Chin.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara lima hingga 12 tahun bagi setiap tiga kes yang merangkumi sembilan pertuduhan tersebut. Kesemua hukuman itu diperintahkan berjalan secara berasingan bermula dari tarikh tangkap pada 3 April lalu, menjadikan jumlah keseluruhan hukuman penjara yang perlu dijalani tertuduh adalah 36 tahun berserta enam sebatan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal dan bukan fizikal terhadap lima penghuni sebuah pusat jagaan kanak-kanak di Batu Caves, Gombak antara November 2025 hingga Mac lalu.

Bagi kesalahan amang seksual fizikal, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Sementara itu, pertuduhan amang seksual bukan fizikal dibuat mengikut Seksyen 15(a)(i) dan 15(a)(ii) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.

Semasa prosiding, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan.

“Saya mengaku bersalah dan memohon hukuman diringankan,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Hairuliqram Hairuddin memohon agar hukuman bagi setiap pertuduhan dijalankan secara berasingan memandangkan kesalahan itu membabitkan mangsa kanak-kanak dan memberi kesan jangka panjang terhadap kehidupan mereka.

Menurut beliau, jenayah seksual yang dilakukan adalah serius kerana menjejaskan maruah, keselamatan dan kesejahteraan mangsa.

“Kes ini membabitkan lima kanak-kanak dan kesan trauma yang dialami mereka boleh berlarutan sepanjang hayat. Justeru, hukuman yang dijatuhkan perlu mencerminkan tahap keseriusan kesalahan tersebut,” katanya.

Berdasarkan fakta kes, perbuatan itu terbongkar selepas beberapa penghuni pusat jagaan berkenaan mendedahkan kejadian yang dialami kepada Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor.

Hasil siasatan mendapati mangsa dikejutkan daripada tidur sebelum tertuduh melakukan perbuatan tersebut dalam beberapa kejadian berasingan di bilik, tandas dan dapur pusat jagaan itu.

Mangsa juga didakwa diugut supaya tidak menceritakan kejadian berkenaan kepada sesiapa kerana bimbang dimarahi atau dipukul.

Pemeriksaan perubatan di Hospital Selayang kemudian mengesahkan terdapat kesan kecederaan serta koyakan lama dan baharu pada beberapa mangsa sebelum tertuduh ditahan polis pada 3 April lalu.

Terdahulu, pada 21 Mei lalu, Mahkamah Sesyen turut menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan lima sebatan terhadap tertuduh selepas dia mengaku bersalah atas enam pertuduhan membabitkan amang seksual fizikal, amang seksual bukan fizikal dan persetubuhan luar tabii terhadap dua kanak-kanak lelaki berusia lapan dan 10 tahun.

Prosiding hari ini turut dihadiri peguam pemerhati, S. Kirthen dan S. Premila yang mewakili waris mangsa serta Pertubuhan Kebangkitan Tiga Tangan Selangor.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *