Belum Masa PRU16, Hassan Karim Mahu Kerajaan Fokus Tunai Janji Kepada Rakyat
JOHOR BAHRU: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berpandangan masih belum tiba masanya untuk Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) diadakan.
Beliau berkata, Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, perlu diberi ruang untuk menamatkan penggal pentadbiran sehingga penghujung mandat sebelum memikirkan pembubaran Parlimen.
Menurut Hassan, langkah itu penting bagi membolehkan dasar serta inisiatif ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan menunjukkan hasil sebenar kepada rakyat.
Beliau berpendapat, jika kerajaan dapat membuktikan keberkesanan dasar-dasar ekonomi, meningkatkan keyakinan pelabur serta memperkukuhkan ekonomi negara dalam tempoh 12 hingga 18 bulan akan datang, ia akan memberikan kelebihan kepada kerajaan menjelang PRU16.

Mengulas prestasi pilihan raya negeri baru-baru ini, Hassan mengakui keputusan yang diterima PKR di beberapa negeri perlu dijadikan pengajaran, bukannya alasan untuk bertindak terburu-buru mengadakan pilihan raya umum.
Sebaliknya, beliau menggesa parti itu mengambil masa menilai keputusan pilihan raya, menyusun semula strategi dan memperkukuhkan gerak kerja sebelum berdepan PRU16.
Beliau turut mengingatkan kepimpinan parti supaya tidak mudah dipengaruhi sentimen kekalahan semasa, sebaliknya terus memberi tumpuan kepada prestasi pentadbiran kerajaan kerana rakyat akhirnya akan menilai berdasarkan pencapaian dan manfaat yang diterima.
Hassan turut menyeru ahli serta penyokong PKR supaya tidak berputus asa dengan keputusan pilihan raya yang lalu, sebaliknya terus memperkukuh parti dan bersedia menghadapi cabaran politik akan datang.
Katanya, apabila rakyat mula merasai kesan positif daripada dasar-dasar kerajaan serta melihat ekonomi negara berada pada landasan yang lebih kukuh, ketika itulah waktu yang lebih sesuai untuk mempertimbangkan pembubaran Parlimen dan mengadakan PRU16.
