Fadillah Yusof Akan Jalani Pembedahan Pintasan Jantung di IJN
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Amar Fadillah Yusof akan menjalani pembedahan pintasan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) dalam masa terdekat.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan dari facebook rasmi Fadillah Yusof mengenai keadaan kesihatan beliau yang dikeluarkan oleh Setiausaha Akhbar Timbalan Perdana Menteri dan Menteri PETRA, Datuk Misiah Taib, pada Isnin.
Menurut kenyataan berkenaan, pembedahan tersebut akan dilakukan sebagaimana yang dinasihatkan oleh pasukan pakar perubatan.
Keadaan Fadillah ketika ini dilaporkan stabil. Bagaimanapun, beliau dinasihatkan supaya berehat sepenuhnya bagi memastikan proses rawatan dan pemulihannya berjalan lancar.
Beliau juga tidak digalakkan menerima pelawat buat masa ini.
Pihak keluarga memohon orang ramai supaya bersama-sama mendoakan agar segala urusan pembedahan dan rawatan Fadillah dipermudahkan serta beliau dikurniakan kesembuhan.
Keluarga turut merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak atas doa, sokongan serta keprihatinan yang diberikan.
Fadillah kini memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air. Kedudukan tersebut turut disenaraikan dalam laman rasmi Pejabat Perdana Menteri dan PETRA.
