ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Jerebu: Ibu bapa Dibenar Tak Hantar Anak Ke Sekolah Jika Bimbang Kesihatan

KUALA LUMPUR – Ibu bapa dibenarkan untuk tidak menghantar anak ke sekolah sekiranya bimbang mengenai kesihatan mereka susulan situasi jerebu yang melanda negara ketika ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata ibu bapa hanya perlu memaklumkan kepada pihak sekolah sekiranya mengambil langkah berkenaan.

“Saya faham kebimbangan ibu bapa melihat keadaan jerebu ketika ini. Kebimbangan ibu bapa kita dengar. Kesihatan dan keselamatan anak-anak tetap menjadi keutamaan dalam setiap tindakan yang kita ambil,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) akan terus memantau bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) yang dikeluarkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta situasi semasa, khususnya di kawasan yang terjejas.

Beliau berkata sebarang tindakan berkaitan pengoperasian sekolah dilaksanakan berdasarkan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan.

“Apabila IPU melebihi 100, semua aktiviti luar bilik darjah dihentikan. Apabila IPU melebihi 200, sekolah ditutup,” katanya.

Menurut portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) pagi ini, Samarahan, Sarawak menjadi satu-satunya kawasan yang merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat, iaitu 226.

Sebanyak 40 kawasan di seluruh negara pula berada pada tahap tidak sihat, manakala 24 kawasan merekodkan bacaan sederhana dan dua kawasan pada tahap baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *