Abu Gunung Berapi Jejas 29,619 Penumpang, 243 Penerbangan Di Jakarta
JAKARTA – Sebanyak 243 penerbangan membabitkan 29,619 penumpang terjejas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta setakat 6.30 pagi Isnin, susulan penutupan sementara operasi penerbangan akibat abu gunung berapi daripada Gunung Anak Krakatau yang memasuki hari kedua.
Penolong Timbalan Komunikasi dan Hal Ehwal Undang-Undang lapangan terbang itu Yudistiawan berkata penerbangan yang terjejas terdiri daripada 184 penerbangan domestik, 54 penerbangan antarabangsa dan lima penerbangan kargo.
Beliau berkata gangguan berkenaan merangkumi pembatalan, kelewatan serta perubahan haluan penerbangan ke lapangan terbang lain.
Menurutnya, penutupan sementara operasi lapangan terbang itu dilanjutkan sehingga 6 petang Isnin susulan petunjuk kehadiran abu gunung berapi daripada Anak Krakatau, selaras dengan Notis Kepada Misi Udara (NOTAM) yang sedang berkuat kuasa.
“Kami memahami situasi ini menjejaskan perjalanan penumpang.
“Sejak penutupan sementara bermula, tumpuan kami adalah memastikan keperluan penumpang terus dipenuhi, daripada penyediaan makanan dan ruang rehat hingga pengangkutan darat alternatif,” katanya dalam satu kenyataan.
Yudistiawan berkata pengendali lapangan terbang InJourney Airports turut menyediakan perkhidmatan bas percuma dari Soekarno-Hatta ke Yogyakarta, Solo, Semarang dan Surabaya.
Penumpang yang terjejas boleh mendaftar untuk menggunakan perkhidmatan itu di kaunter yang ditetapkan di terminal.
Soekarno-Hatta merupakan antara lapan lapangan terbang yang terjejas akibat abu gunung berapi berkenaan.
Lapangan terbang lain ialah Halim Perdanakusuma di Jakarta, Radin Inten II di Lampung, Husein Sastranegara di Bandung, Budiarto di Tangerang, Pondok Cabe di Tangerang Selatan, Taufik Kiemas di Pesisir Barat, Lampung dan Atung Bungsu di Pagar Alam, Sumatera Selatan.
Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Dudy Purwagandhi berkata pihak berkuasa memantau dengan teliti pergerakan abu gunung berapi, manakala lapangan terbang yang terjejas hanya dibenarkan beroperasi semula selepas keadaan disahkan selamat.
“Keselamatan adalah keutamaan kami. Kami menilai situasi terkini berdasarkan maklumat daripada BMKG (Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik), jadi kami belum dapat menentukan bila keadaan ini akan berakhir kerana cuaca terlalu dinamik,” katanya dalam kenyataan.
Dudy berkata ketidakpastian itu antara lain disebabkan perubahan arah angin yang pantas pada altitud berbeza.
Beliau berkata ujian kertas dijalankan setiap 30 minit di semua lapangan terbang yang terjejas bagi menentukan sama ada abu gunung berapi terus merebak atau semakin berkurangan.
Menurutnya, pesawat perlu menjalani pemeriksaan selepas keadaan kembali normal dan lapangan terbang dibenarkan dibuka semula bagi memastikan tiada abu gunung berapi memasuki enjin sebelum operasi penerbangan disambung.
