ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Perlis Akan Ada Litar Permotoran RM20 Juta

PADANG BESAR – Pembinaan litar permotoran bernilai RM20 juta di kawasan Perindustrian Lembah Industri Chuping (CVIA) dijangka menjadi tarikan baharu sektor pelancongan di Perlis.

Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah berkata litar sepanjang 1.3 kilometer itu bukan sahaja berpotensi merancakkan aktiviti sukan permotoran, malah mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk dan peniaga tempatan.

Beliau berkata pembangunan berkenaan juga dijangka menarik kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara, sekali gus mengukuhkan sektor pelancongan negeri khususnya pelancongan berasaskan sukan.

“Pada 15 Sept ini, kita akan mengadakan majlis pecah tanah bagi pembinaan litar permotoran ini menerusi jalinan kerjasama antara kerajaan negeri dan syarikat ESR Motors.

“Dengan adanya litar ini, ia bukan sahaja dapat meningkatkan martabat sukan permotoran, malah turut melonjakkan ekonomi setempat dan negeri Perlis secara keseluruhannya,” katanya selepas meninjau tapak pembinaan litar berkenaan di sini, semalam.

Abu Bakar berkata litar itu disasarkan menjadi penanda aras dan contoh pembangunan fasiliti permotoran bukan sahaja kepada negara jiran, malah di peringkat Asia.

Menurut beliau, kewujudan litar berkenaan turut berpotensi merancakkan sektor pelancongan sempadan, khususnya menerusi kemasukan pengunjung dari Thailand.

“Pelancong dari Thailand, terutamanya peminat sukan permotoran yang ingin berkunjung ke litar itu pasti akan singgah dan berbelanja di Perlis.

“Ini sudah tentu membantu meningkatkan rantaian ekonomi setempat dan memberi limpahan kepada peniaga tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, Abu Bakar berkata kerajaan negeri turut menyasarkan untuk menarik pelabur berpotensi bagi membangunkan hotel bertaraf lima bintang di Perlis.

Katanya, usaha itu antara perancangan kerajaan negeri untuk memperkukuh sektor pelancongan, termasuk menerusi kerjasama dengan negara jiran.

“Bagi merealisasikan hasrat itu, kerajaan negeri akan mengadakan sesi libat urus bersama kerajaan Brunei atau Thailand bagi mewujudkan konsep bandar berkembar serta memacu pelancongan sempadan.

“Konsep bandar berkembar yang dirancang ini mungkin boleh dilaksanakan dalam bentuk Perlis-Brunei dan Perlis-Bangkok.

“Buat masa ini belum ada pertemuan rasmi bagi pelaksanaan inisiatif ini, namun kita merancang untuk mengadakan lawatan kerja ke sana selepas ini,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *