Cicak Tokay Hitam Ditemukan Di Perlis, Satu-Satunya Rekod Di Malaysia
KANGAR – Cicak tokay hitam (Gekko cf. dam) setakat ini hanya direkodkan di Perlis sebagai satu-satunya lokasi di Malaysia, sekali gus menjadi antara penemuan menarik dalam Ekspedisi Saintifik Kepelbagaian Biologi Hutan Simpan Bukit Papan dan sebahagian Hutan Simpan Kurong Batang (Selatan), Kuala Perlis, dekat sini.
Ketua Penyelidik ekspedisi itu, Dr Razak Terhem dari Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar, Universiti Putra Malaysia (UPM), berkata spesies berkenaan bukan endemik Perlis kerana turut mempunyai taburan di luar negara, termasuk di Thailand.
Bagaimanapun, berdasarkan data dan dapatan awal ekspedisi serta kajian Jabatan Perhutanan Perlis, negeri itu dipercayai merupakan kawasan taburan paling selatan bagi spesies berkenaan.
“Berdasarkan data, setakat ini di Malaysia cicak tokay hitam ini hanya direkodkan di Perlis.
“Selain itu, berdasarkan data ekspedisi dan kajian Jabatan Perhutanan Perlis, kita percaya Perlis merupakan kawasan taburan paling selatan bagi spesies ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup ekspedisi itu di sini hari ini.
Majlis berkenaan disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Kesihatan, Keusahawanan dan Koperasi serta Alam Sekitar Perlis Megat Hashirat Hassan.
Razak berkata penemuan itu mengukuhkan kepentingan Perlis sebagai kawasan yang mempunyai biodiversiti unik dalam landskap Banjaran Nakawan, yang dipengaruhi perbezaan iklim, formasi batu kapur dan ekosistem hutan sehingga membentuk habitat tersendiri.
Beliau berkata ekspedisi berkenaan turut menemukan satu spesies orkid yang berpotensi dikenal pasti sebagai spesies baharu dan kini sedang melalui proses dokumentasi serta pengesahan oleh pakar.
Selain itu, empat spesies halia turut direkodkan, termasuk satu spesies yang ditemukan semula dalam keadaan berbunga selepas kali terakhir direkodkan berbunga pada 2001.
“Selepas lebih 20 tahun, kita menemukan semula spesies ini dalam keadaan berbunga. Penemuan ini menunjukkan masih banyak khazanah biodiversiti Perlis yang memerlukan pemantauan dan penyelidikan secara berkala,” katanya.
Ekspedisi yang bermula 16 Ogos itu menghimpunkan 105 penyelidik daripada institusi pengajian tinggi dalam dan luar negara, agensi kerajaan serta pertubuhan bukan kerajaan bagi menjalankan penyelidikan dalam pelbagai bidang berkaitan biodiversiti, ekologi dan pengurusan sumber hutan.
Sepanjang ekspedisi itu, kira-kira 16 spesies mamalia, 60 spesies burung, 70 spesies kupu-kupu dan 25 spesies herpetofauna termasuk ular, katak serta cicak direkodkan.
Bagi flora, penyelidik turut merekodkan 28 spesies tumbuhan berkayu, 18 spesies orkid, 20 spesies paku pakis serta 150 spesies tumbuhan memanjat dan menjalar.
Sementara itu, lebih 120 penemuan kulat direkodkan, dengan kira-kira 33 daripadanya merupakan rekod baharu di Perlis, namun jumlah berkenaan masih perlu dimurnikan bagi memastikan tiada pertindihan spesies.
