ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

ISU TERKINI · POLITIK NEUTRAL · POPULAR · SANTAI

Malaysia

Hampir 100,000 Kandungan Berunsur Penipuan Diturunkan Sehingga Julai

JOHOR BAHRU – Sebanyak 99,693 kandungan media sosial berunsur penipuan termasuk scam telah diturunkan setakat 15 Julai tahun ini, melebihi 98,503 kandungan yang diturunkan sepanjang tahun lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata dalam tempoh sama, sebanyak 106,268 permohonan menurunkan kandungan berkenaan telah dikemukakan kepada platform media sosial seperti Meta, TikTok dan YouTube, berbanding 102,113 permohonan sepanjang 2025.

Beliau berkata terdapat sedikit perbezaan antara jumlah permohonan yang dikemukakan dengan kandungan yang berjaya diturunkan kerana platform berkenaan mempunyai kuasa untuk menentukan tindakan terhadap kandungan yang dilaporkan.

“Memang ada sedikit perbezaan kerana walaupun permohonan itu dihantar oleh MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia), platform masih mempunyai kuasa mutlak untuk menurunkan atau sebaliknya kandungan berkenaan.

“Namun, untuk kes scam, kadar pematuhan (platform) biasanya melebihi 90 peratus,” katanya kepada pemberita selepas Program MADANI Kita (PMK) 2026 Negeri Johor di Dewan Raya Aman Desa, Skudai, di sini hari ini.

Sementara itu, sempena Bulan Kebangsaan, Teo mengingatkan masyarakat supaya memastikan Jalur Gemilang dikibarkan mengikut tatacara yang betul kerana bendera kebangsaan merupakan simbol penting negara.

Beliau berkata Jabatan Penerangan (JaPEN) turut melaksanakan kempen “1 Rumah 1 Jalur Gemilang” sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia dari Ogos hingga September bagi menggalakkan rakyat mengibarkan bendera negara.

Katanya, kempen itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai tatacara pengibaran Jalur Gemilang yang betul.

Teo berkata pihaknya turut menerima pelbagai aduan mengenai tindakan penguatkuasaan yang didakwa berbeza mengikut lokasi apabila membabitkan kesalahan berkaitan pengibaran Jalur Gemilang.

“… kami menerima banyak aduan bahawa tindakan yang diambil sama ada oleh pihak berkuasa tempatan atau polis tidak sama apabila melibatkan lokasi berbeza.

“Saya rasa itu juga merupakan satu isu yang kita perlu beri perhatian kerana kami tidak mahu wujudkan ketakutan dalam kalangan orang awam untuk mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *