Kerajaan Tumpu Sempurnakan Tugas Pada Masa Ini, Bukan Pilihan Raya
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa keutamaan kerajaan ketika ini adalah melaksanakan tanggungjawab mentadbir negara, bukannya memberi tumpuan kepada kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) dalam masa terdekat.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada Parlimen akan dibubarkan bagi membuka laluan kepada PRU ke-16 susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor pada Isnin lalu.
Menurut Anwar, keputusan untuk membubarkan DUN Johor adalah hak kerajaan negeri dan tidak berkaitan dengan perancangan Kerajaan Persekutuan.
“Itu keputusan mereka (Barisan Nasional Johor). Kami mempunyai keutamaan sendiri.
“Kami memberi fokus kepada tugas mentadbir dan melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Peluncuran Persidangan Peralihan Tenaga di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Pada Isnin lalu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan pembubaran DUN Johor bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Mengikut peruntukan undang-undang, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh sehingga 60 hari selepas pembubaran DUN untuk mengadakan PRN.
Dalam PRN Johor 2022, Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.
Pakatan Harapan (PH) pula memperoleh 12 kerusi, dengan DAP memenangi 10 kerusi manakala PKR dan Amanah masing-masing satu kerusi. Perikatan Nasional (PN) memenangi tiga kerusi, sementara Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) memperoleh satu kerusi.
