FLORIDA – Impian seorang wanita muda untuk bergelar juruterbang akhirnya tercapai, namun perjalanan hidupnya berakhir tragis apabila pesawat yang dikendalikannya terhempas di Palm Beach County, Florida pada Ahad.
Mangsa, Nathalia Gadelha Filgueiras, 20, merupakan pembantu juruterbang pesawat jenis Learjet 60 yang terlibat dalam nahas berkenaan. Dia antara sembilan individu yang maut selepas pesawat dalam penerbangan dari Austin, Texas menuju ke Bahamas terhempas di kawasan kediaman.
Pemergian Nathalia meninggalkan kesedihan mendalam buat keluarganya, terutama ibunya, Camila yang mengakui sejak awal sudah bimbang impian anaknya dalam dunia penerbangan akan memisahkan mereka suatu hari nanti.
Menurut Camila, dia tetap menyokong hasrat anaknya untuk mengejar cita-cita, meskipun menyimpan perasaan takut akan kehilangan insan tersayang.
Lebih menyedihkan, Nathalia dijadualkan menyambut ulang tahun kelahirannya yang ke-21 pada Januari depan. Dia juga sudah bekerja sebagai juruterbang komersial selama sembilan bulan dan mempunyai pengalaman penerbangan selama 1,300 jam.
Kira-kira 10 minit sebelum nahas, Nathalia sempat menghantar mesej kepada teman lelakinya, Justin, memaklumkan pesawat berdepan pergolakan udara dan pembentukan ais.
Rakaman komunikasi dengan kawalan trafik udara turut memperdengarkan permintaan bantuan sebelum pesawat itu menjunam pada kadar melebihi 20,000 kaki seminit.
Nathalia mula mengikuti latihan penerbangan pada 2020 sebelum memperoleh lesen juruterbang persendirian ketika berusia 17 tahun. Minatnya terhadap dunia penerbangan bermula selepas mengikuti penerbangan bersama bapanya menggunakan pesawat ringan.
Ibunya berkata, Nathalia sangat mencintai bidang penerbangan dan sentiasa berusaha meningkatkan kemahirannya. Malah, beliau percaya anaknya mungkin memilih untuk mengakhiri perjalanan hidup dengan cara yang berkait rapat dengan impiannya, namun tidak menyangka ia berlaku seawal itu.
Punca sebenar nahas masih belum dikenal pasti, manakala identiti lapan lagi mangsa belum diumumkan ketika laporan diterbitkan.









