Home / Malaysia / LELAKI DIDAKWA BUNUH PENEROKA FELDA, BERDEPAN HUKUMAN MATI JIKA SABIT KESALAHAN

LELAKI DIDAKWA BUNUH PENEROKA FELDA, BERDEPAN HUKUMAN MATI JIKA SABIT KESALAHAN

KOTA TINGGI – Seorang lelaki berusia 35 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Pengerang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang peneroka warga emas di FELDA Lok Heng Selatan, Kota Tinggi, pada 26 Oktober lalu.

Tertuduh, Muhammad Iskandar Sentot, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Shuhada Shamsudin.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa membunuh Mohd Ariff Md Yusoff, 68, di hadapan sebuah rumah di Jalan Bersatu, FELDA Lok Heng Selatan, kira-kira jam 7.20 malam.

Mangsa sebelum itu ditemukan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala serta kedua-dua belah lengan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan. Jika tidak dikenakan hukuman mati, tertuduh boleh dipenjara antara 30 hingga 40 tahun dan dikenakan sekurang-kurangnya 12 sebatan.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 7 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan kimia, patologi, DNA, rekod kesihatan mental serta bedah siasat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nursyafiq Abd Halim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sumber : Berita RTM

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *