Home / Malaysia / ANWAR TEGAS TINDAKAN TERHADAP SHUHAILY BERDASARKAN SIASATAN, BUKAN SOAL JASA

ANWAR TEGAS TINDAKAN TERHADAP SHUHAILY BERDASARKAN SIASATAN, BUKAN SOAL JASA

KUALA LUMPUR – Sebarang tindakan terhadap Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dibuat berdasarkan siasatan dan perlu mengikut proses undang-undang yang ditetapkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jasa serta rekod perkhidmatan seseorang penjawat awam tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan siasatan sekiranya terdapat dakwaan salah laku.

Beliau menjelaskan perkara itu ketika menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kasim (PN-Arau) pada sesi Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini berhubung pertukaran Mohd Shuhaily kembali ke Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menurut Anwar, setiap laporan yang diterima, sama ada daripada orang awam atau pihak polis, perlu disiasat secara profesional tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Beliau turut menegaskan bahawa keputusan untuk membawa sesuatu kes ke mahkamah terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara berdasarkan hasil siasatan polis.

Untuk rekod, Mohd Shuhaily sebelum ini didakwa di Mahkamah Majistret Sepang atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis dalam kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.

Bagaimanapun, beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan berkenaan.

Anwar menegaskan tindakan terhadap penjawat awam perlu dilaksanakan mengikut peraturan dan undang-undang, tanpa dipengaruhi kedudukan atau sumbangan mereka sebelum ini.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *