NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Dunia Perlukan Hala Tuju Jelas Kepimpinan, Bukan Kuasa – PM

TOKYO – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan dunia hari ini tidak berdepan kekurangan kuasa, sebaliknya berdepan krisis hala tuju dan kepimpinan yang jelas dalam mendepani pelbagai cabaran global yang semakin kompleks.

Berucap pada Forum Nikkei ke-31 bertajuk “Navigating Strategic Uncertainty”, Anwar menyeru pembentukan kerjasama global yang lebih kukuh bagi menangani ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat, sambil menekankan kepentingan kepimpinan berwawasan dalam mengemudi perubahan dunia.

Menurut beliau, seperti pelaut pada zaman dahulu yang berdepan ribut dan lautan luas tanpa mengetahui apa yang menanti di hadapan, kejayaan mereka bergantung kepada kejelasan arah yang menjadi panduan perjalanan.

“Pelaut zaman dahulu tidak dapat meramalkan kedatangan ribut. Mereka tidak mampu mengawal arus dan tidak mengetahui apa yang menanti di sebalik ufuk. Namun mereka mempunyai satu perkara yang penting iaitu arah yang jelas,” katanya.

Anwar berkata, dunia ketika ini memerlukan pembaharuan terhadap institusi sedia ada dan bukannya membiarkannya terus terpinggir, selain mengutamakan kerjasama berbanding perpecahan dalam usaha mencari penyelesaian kepada pelbagai cabaran semasa.

Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan yang berkesan menuntut keberanian untuk mengambil inisiatif dan membuat keputusan, bukannya bersikap pasif atau menyerahkan tanggungjawab kepada pihak lain.

“Dunia bukan kekurangan kuasa, tetapi kekurangan hala tuju yang jelas. Institusi memerlukan reformasi dan pembaharuan, bukan pengabaian. Kerjasama perlu diutamakan berbanding perpecahan, manakala kepimpinan memerlukan tindakan dan bukannya berdiam diri.

“Jika kita terus berpegang kepada prinsip-prinsip ini, saya percaya cabaran yang dihadapi hari ini mampu diterjemahkan menjadi peluang yang lebih baik untuk masa depan,” katanya.

Ucapan Anwar itu merupakan sesi pembukaan Forum Nikkei ke-31 yang bertemakan “Working Together for a More Resilient and Prosperous Asia”, yang menghimpunkan pemimpin politik, tokoh korporat dan pakar ekonomi dari seluruh rantau Asia untuk membincangkan isu-isu strategik serta masa depan pembangunan serantau.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *