AGC Klasifikasi Aduan Ugutan Albert Tei Terhadap Azam Baki Sebagai NFA
KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) memutuskan untuk mengklasifikasikan kes aduan ugutan jenayah yang dibuat ahli perniagaan, Albert Tei terhadap bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).
AGC dalam satu kenyataan memaklumkan keputusan tersebut dibuat selepas penelitian menyeluruh terhadap kertas siasatan yang dikemukakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung laporan yang dibuat oleh Albert Tei atau nama sebenarnya Tei Jiann Cheing.
Menurut AGC, hasil semakan mendapati elemen kesalahan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan tidak dapat dibuktikan berdasarkan fakta dan keterangan yang diperoleh sepanjang siasatan dijalankan.
“Jabatan Peguam Negara telah meneliti kertas siasatan yang dikemukakan oleh PDRM berhubung aduan Jiann Cheing terhadap Azam Baki bagi kesalahan ugutan jenayah di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.
“Hasil penelitian menyeluruh mendapati elemen kesalahan tersebut tidak dapat dibuktikan. Justeru, kertas siasatan ini diputuskan untuk diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Sebelum ini, Azam dilaporkan memfailkan saman fitnah di Mahkamah Tinggi Shah Alam terhadap Jiann Cheing bagi menuntut ganti rugi serta perintah injunksi berhubung beberapa kenyataan yang didakwa berunsur fitnah.
Tindakan saman tersebut berkaitan penerbitan dan penyiaran semula kenyataan mengenai Azam menerusi platform audio siar, YouTube Shorts serta beberapa saluran dalam talian lain.
Jiann Cheing sebelum ini membuat beberapa dakwaan terhadap Azam berkaitan siasatan dan pertikaian yang sedang berlangsung, termasuk mendakwa dirinya menjadi mangsa ugutan serta dihalang daripada mendedahkan dakwaan skandal rasuah yang dikatakan melibatkan beberapa ahli politik di Sabah.
Pada 13 Mei lalu, beliau turut membuat laporan polis yang mendakwa berlaku ugutan jenayah melibatkan peguam mewakili Azam.
Susulan laporan tersebut, PDRM menjalankan siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan sebelum merakam keterangan Azam di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada 3 Jun lalu.
