Home / Politik / ANWAR TIDAK SETUJU UMNO BAYAR DENDA RM50 JUTA NAJIB, TEGAS RASUAH TIDAK BOLEH DIKOMPROMI

ANWAR TIDAK SETUJU UMNO BAYAR DENDA RM50 JUTA NAJIB, TEGAS RASUAH TIDAK BOLEH DIKOMPROMI

AMPANG – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan ketidaksetujuannya terhadap keputusan UMNO membayar denda RM50 juta bagi pihak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan keputusan tersebut merupakan hak UMNO dan perlu dihormati selagi proses undang-undang serta keputusan Yang di-Pertuan Agong dipatuhi.

Menurut beliau, hubungan persahabatan dengan Najib tidak seharusnya memberikan gambaran kepada masyarakat bahawa kesalahan rasuah melibatkan jumlah berbilion ringgit boleh dipandang ringan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Taman Kosas, pada Jumaat.

Anwar turut menegaskan bahawa prinsip menolak penyalahgunaan kuasa dan rasuah perlu terus dipertahankan, termasuk dalam usaha mendidik generasi muda mengenai integriti dan tanggungjawab.

Terdahulu, UMNO mengesahkan telah menyelesaikan pembayaran denda RM50 juta yang dikenakan terhadap Najib menerusi kutipan Tabung Solidariti Najib Razak.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan akaun khas tabung itu turut ditutup selepas jumlah sumbangan yang diterima mencukupi untuk mencapai sasaran pembayaran.

Pembayaran tersebut memenuhi salah satu syarat pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah.

Sumber : BERNAMA
Foto : Utusan Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *