Home / Hiburan / SHAH RUKH KHAN MILIKI KEKAYAAN RM4.28 BILION, KEKAL PELAKON TERKAYA INDIA

SHAH RUKH KHAN MILIKI KEKAYAAN RM4.28 BILION, KEKAL PELAKON TERKAYA INDIA

MUMBAI – Bintang Bollywood, Shah Rukh Khan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara pelakon terkaya dunia apabila kekayaannya dianggarkan mencecah 10,000 crore rupee atau kira-kira RM4.28 bilion.

Anggaran itu berdasarkan Senarai Individu Terkaya Hurun India 2026, sekali gus meletakkan pelakon yang genap berusia 61 tahun pada 2 November lalu itu sebagai pelakon terkaya di India.

Menariknya, kekayaan Shah Rukh bukan hanya datang daripada kerjaya lakonan. Sebaliknya, beliau turut menjana pendapatan menerusi kontrak duta jenama, syarikat produksi dan pelaburan dalam industri sukan.

Beliau memiliki syarikat produksi Red Chillies Entertainment yang ditubuhkan pada 2002. Syarikat itu menerbitkan beberapa filem popular termasuk Om Shanti Om, My Name Is Khan, Ra.One dan Jawan, selain mengendalikan studio kesan visual Red Chillies VFX.

Dalam bidang sukan pula, Shah Rukh merupakan pemilik bersama pasukan kriket Kolkata Knight Riders (KKR) yang bersaing dalam Liga Perdana India (IPL), bersama pelakon Juhi Chawla dan suaminya, Jay Mehta.

Selain itu, beliau turut memiliki beberapa hartanah mewah termasuk kediaman ikonik Mannat di Mumbai, vila di Palm Jumeirah, Dubai serta apartmen di Park Lane, London.

Koleksi kenderaan mewahnya juga merangkumi Bugatti Veyron, BMW i8, BMW 7 Series, Audi A6 dan beberapa model Mercedes-Benz.

Bagaimanapun, anggaran kekayaannya menunjukkan penurunan berbanding 12,490 crore rupee atau kira-kira RM5.36 bilion dalam senarai Hurun India 2025.

Meskipun nilai kekayaannya menurun, Shah Rukh masih mengekalkan kedudukan sebagai pelakon terkaya dalam senarai berkenaan.

Tagged:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *