“Yang Tak Sakau, Nak Suruh Letak Jawatan?” — Anwar Persoal Desakan Terhadap Loke
KUALA LUMPUR – Isu peletakan jawatan Anthony Loke terus menjadi perhatian apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempersoalkan mengapa menteri yang didakwanya menjalankan tugas dengan baik pula didesak untuk berundur.
Anwar berkata, beliau sudah menerima surat peletakan jawatan Loke sebagai Menteri Pengangkutan pada Isnin dan akan berbincang dengan Setiausaha Agung DAP itu mengenai perkara berkenaan.
Menurut Anwar, tiada masalah dengan prestasi Loke sebagai menteri, malah beliau menyifatkan prestasi Loke dalam menjalankan tugas sebagai sangat baik.
“Yang tak sakau, nak suruh letak jawatan?” soal Anwar ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Malaysia Professional Day di Kuala Lumpur, Selasa.
Dalam kenyataannya, Anwar turut mempersoalkan mengapa isu rasuah, rompakan dan “sakau” tidak diberikan perhatian yang sama, sebaliknya desakan supaya Loke meletakkan jawatan pula menjadi tumpuan.
Sebelum itu, Loke mengesahkan beliau telah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Anwar pada Isnin. Bagaimanapun, beliau akan meneruskan tugas buat sementara waktu sehingga keputusan mengenai peletakan jawatan itu dimuktamadkan.
Loke sebelum ini menyatakan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa apabila bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dibebaskan dari Penjara Kajang untuk menjalani baki hukuman di bawah tahanan rumah.
Sumber : Astro AWANI
