PRU16: Amanah Mula Susun Calon Lebih Awal, Sasar 18 Kerusi
SUBANG JAYA – Menjelang PRU16, Amanah nampaknya tidak mahu menunggu sehingga saat akhir untuk menyusun pasukannya.
Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa berkata parti itu akan mengenal pasti calon lebih awal supaya mereka mempunyai masa untuk memperkenalkan diri kepada pengundi, selain membolehkan persiapan pilihan raya dibuat dengan lebih tersusun.
Dalam masa sama, Amanah mahu memperkuatkan jentera di peringkat akar umbi, termasuk menambah cawangan dan keahlian serta memperkemas gerak kerja di Pusat Daerah Mengundi (PDM).
Amanah menyasarkan sekurang-kurangnya 18 kerusi Parlimen pada PRU16. Namun, Mujahid mengingatkan ahli parti supaya tidak berada dalam keadaan selesa kerana pilihan raya akan datang dianggap sebagai cabaran yang besar.
Malah, berdasarkan kajian dan simulasi dalaman parti dalam senario tertentu, Mujahid berkata hanya kerusi Kota Raja yang disandang Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu dilihat mampu dipertahankan sekiranya parti gagal memperkukuh jentera dan sokongan pengundi.
Selain soal kerusi, Amanah juga mahu memperkukuh naratif Islam Rahmatan Lil ’Alamin bagi meyakinkan pengundi Melayu dan Islam bahawa parti itu mampu memperjuangkan kepentingan mereka, tanpa mengetepikan hak masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu.
Mujahid turut menggesa pimpinan parti supaya lebih menjaga anggota akar umbi, termasuk menghargai pengorbanan serta kebajikan mereka bagi mengelakkan mereka meninggalkan parti.
Sumber : BERNAMA
Foto : Astro AWANI
