Timbalan Ketua AMK Pandan, 18 AJK, Pengerusi Tetap Letak Jawatan, 14 Keluar PKR
KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Pandan, Haqimi Zamri bersama 18 Ahli Jawatankuasa (AJK) sayap itu mengumumkan peletakan jawatan mereka berkuat kuasa serta-merta.
Tindakan tersebut dilihat selari dengan keputusan Rafizi Ramli yang sebelum ini mengosongkan jawatan Ketua Cabang dan Ahli Parlimen Pandan.
Pada sidang media hari ini, Haqimi berkata peletakan jawatan itu turut melibatkan pengerusi tetap AMK cabang berkenaan, manakala 14 daripada AJK terbabit turut mengambil keputusan keluar daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Menurutnya, notis rasmi berhubung perkara itu akan dihantar kepada Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh dalam masa terdekat.
“Saya selaku Timbalan Ketua AMK Pandan dan EXCO AMK Selangor mengumumkan peletakan jawatan daripada semua jawatan dalam PKR serta keluar parti berkuat kuasa serta-merta.
“Bersama saya, seramai 19 lagi pimpinan AMK Pandan turut meletakkan jawatan melibatkan seorang pengerusi tetap dan 18 AJK,” katanya.
Beliau turut mendakwa struktur kepimpinan AMK Pandan terbubar secara automatik selepas kehilangan korum mengikut peruntukan dalam peraturan tetap sayap parti itu dan Perlembagaan PKR.
Haqimi yang juga bekas pegawai khas Rafizi ketika beliau menerajui Kementerian Ekonomi berkata, beliau kini memilih untuk menyertai Parti Bersama Malaysia (BERSAMA), dengan permohonan keahlian dijangka dibuat dalam masa terdekat.
Menurutnya, keputusan tersebut dipengaruhi perkembangan politik semasa termasuk dakwaan berhubung isu rasuah, pengaruh kumpulan korporat serta pemilihan PKR yang didakwanya dimanipulasi untuk kepentingan pihak tertentu.
“Ia bukan sekadar isu dalaman parti, tetapi juga membabitkan isu negara yang lebih besar termasuk dakwaan rasuah melibatkan kelompok tertentu dan pengaruh mafia korporat.
“Kami memilih untuk terus bersama Rafizi yang banyak berjasa sepanjang menjadi Ahli Parlimen Pandan,” katanya.
Haqimi turut mendakwa terdapat pemimpin yang berubah pendirian selepas kehilangan jawatan tertentu dan memilih untuk tidak lagi menyokong Rafizi meskipun sebelum ini mendapat manfaat daripada pengaruh bekas pemimpin PKR itu.
“Kami kecewa apabila ada individu yang sebelum ini bergantung kepada kekuatan dan sokongan Rafizi untuk memenangi jawatan akhirnya memilih haluan berbeza apabila kuasa dan kedudukan menjadi keutamaan.
“Kami teringat pesanan Anwar Ibrahim bahawa setiap perjuangan pasti melahirkan pengkhianat dan penjilat. Hari ini kami melihat budaya itu semakin menebal dalam PKR,” dakwanya.
