Wong Chen Sah Letak Jawatan Ahli Parlimen Subang Berkuat Kuasa Hari Ini
KUALA LUMPUR – Selepas beberapa hari mencetuskan tanda tanya, Wong Chen hari ini mengesahkan peletakan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Subang berkuat kuasa 5 petang ini.
Wong Chen menerusi hantaran di Facebook memaklumkan peletakan jawatan itu dibuat secara sukarela.
Beliau turut berkongsi notis peletakan jawatan bertarikh 5 Ogos yang diserahkan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
“Pada 5 Ogos, saya telah bertemu dengan Yang Dipertua Dewan dan menyerahkan surat peletakan jawatan saya sebagai Ahli Parlimen, yang berkuat kuasa pada 10 Ogos, jam 5 petang.
“Ini adalah bagi memberikan tempoh tiga hari bekerja kepada pegawai-pegawai Parlimen untuk membuat persiapan berhubung kekosongan kerusi Parlimen Subang,” katanya.
Menurut beliau, persetujuan secara ‘gentleman’s agreement’ dicapai untuk tidak mendedahkan sebarang butiran berhubung perkara itu sehingga 10 Ogos, jam 5 petang.
Beliau turut memaklumkan gelaran kehormat “Yang Berhormat” akan digugurkan daripada semua papan iklan, papan tanda dan surat-menyurat berkaitan menjelang bulan depan.
Wong Chen berkata satu sidang media akan diadakan pada 11 pagi Rabu ini bagi menjelaskan lebih lanjut mengenai keputusannya.
Sebelum ini, media melaporkan Johari mengesahkan Wong Chen yang juga wakil rakyat PKR bagi kawasan Subang ada menyuarakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen.
“Beliau bercadang meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen dan menyatakan alasan atas cadangannya itu,” katanya.
Wong Chen yang telah tiga penggal mewakili kerusi Parlimen Subang sebelum ini mendakwa tidak dibenarkan mengakses sistem portal peruntukan khas MyKHAS yang digunakan bagi menguruskan peruntukan pembangunan kawasan.
Turut dilaporkan berdepan isu sama ialah Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Ketiga-tiga mereka dikaitkan dengan kem bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli.
Selain itu, Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan turut meluahkan rasa kecewa serta memberikan peringatan berhubung isu berkenaan.
Sebelum ini, Rafizi dan bekas Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad, masing-masing meletakkan jawatan sebagai Ahli Parlimen Pandan dan Setiawangsa sebelum melancarkan Parti Bersama Malaysia.
