NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

NEWS · NEUTRAL POLITICS · ENTERTAINMENT · LIFESTYLE PORTAL

Malaysia

Sultan Selangor Tegas Perpaduan Melayu, Umat Islam Bukan Memusuhi Kaum Lain

SHAH ALAM – Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan perpaduan dalam kalangan orang Melayu dan umat Islam tidak seharusnya disalah anggap sebagai usaha memusuhi kaum lain di negara ini.

Baginda bertitah, kekuatan sesuatu bangsa yang hidup dalam keadaan bersatu padu mampu mewujudkan negara yang lebih aman, stabil serta melahirkan masyarakat yang saling menghormati antara satu sama lain.

“Sempena sambutan Aidiladha ini, beta berharap semua kaum dan agama di negara ini terus memupuk rasa hormat terhadap sensitiviti masing-masing serta hidup dalam suasana aman dan harmoni.

“Sejarah membuktikan tamadun Islam pernah mencapai zaman kegemilangan ketika pemerintahan kerajaan Uthmaniyyah apabila masyarakat pelbagai bangsa hidup bersatu di bawah pemerintahan Islam,” titah baginda dalam perutusan Aidiladha 2026 hari ini.

Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin menzahirkan ucapan selamat hari raya kepada seluruh umat Islam, khususnya rakyat di Selangor. – Foto ihsan FB Selangor Royal Office

Sultan Sharafuddin bertitah, Aidiladha membawa pengertian besar mengenai pengorbanan, keikhlasan dan perpaduan ummah apabila jutaan umat Islam berhimpun di Tanah Suci tanpa mengira darjat, bangsa dan kedudukan.

Menurut baginda, semangat perpaduan itu wajar dijadikan teladan oleh orang Melayu dan umat Islam di negara ini termasuk dalam kalangan pemimpin politik dan rakyat.

“Jika kita terus berpecah dan bertelingkah sesama sendiri, maka kita sendiri akan menjadi lemah dan rugi.

“Beta juga melihat sejak kebelakangan ini terlalu banyak pertelingkahan politik yang boleh menimbulkan keresahan dalam kalangan rakyat,” titah baginda.

Baginda turut mengingatkan bahawa sejarah lampau menunjukkan perpecahan orang Melayu Islam membuka ruang kepada pihak luar untuk mengambil kesempatan sehingga melemahkan kedudukan bangsa Melayu di tanah air sendiri.

Dalam perutusan sama, Sultan Sharafuddin dan Tengku Permaisuri Norashikin turut menzahirkan ucapan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada seluruh umat Islam khususnya rakyat Selangor.

Baginda berdua juga mendoakan agar semua jemaah haji Malaysia dipermudahkan urusan ibadah, dikurniakan kesihatan yang baik serta pulang ke tanah air dengan selamat dan memperoleh haji yang mabrur.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *